Halaman

Sabtu, 2 Ogos 2014

Israel perlu buktikan Malaysia ada hubungan ketenteraan dengan Palestin - Zahid Hamidi

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa Israel membuktikan dakwaan kononnya Malaysia menjalinkan hubungan ketenteraan dengan Hamas di Gaza.
 
Ujarnya propaganda yang dicetuskan agensi perisikan Israel Shin Bet adalah untuk mencemar nama baik Malaysia dengan tuduhan tidak berasas dan ia perlu dibuktikan.
 
"Ini adalah percubaan untuk menutup malu mereka kerana gagal berdepan dengan pejuang-pejuang Hamas di Gaza," ujarnya menerusi satu kenyataan medianya hari ini.
 
Zahid berkata demikian sebagai reaksi kepada tuduhan kononnya Malaysia adalah tempat latihan untuk pejuang Hamas di Palestin.
 
"Malaysia tidak pernah menjalin sebarang kerjasama terutamanya dari segi ketenteraan dengan Hamas atau mana-mana pihak di Palestin.  Setakat ini hubungan dan kerjasama dengan Palestin merupakan hubungan diplomatik, perdagangan, dan kebudayaan sahaja.
 
"Malaysia juga merupakan penyokong kuat pejuang Palestin dari segi moral dan bantuan kemanusiaan," tegas Zahid.
 
Tambahnya Israel mungkin tidak berpuas hati dengan Malaysia yang mempunyai hubungan baik dengan Palestin.
 
"Sokongan padu rakyat Malaysia ini adalah kerana hubungan baik antara pemimpin Malaysia dan Palestin yang telah terjalin sekian lama dan ada kemungkinan ini menyebabkan pihak Israel tidak berpuas hati," katanya lagi.
 
Semalam, akhbar Jerusalem Pos, iaitu media Israel yang menghebahkan propaganda kerajaan Zionis mendakwa seorang ketua pejuang Hamas dan sembilan rakannya menjalani latihan menggunakan payung terjun berkuasa (powered parachute) di Malaysia pada tahun 2012.
 
Pendedahan itu kononnya dibuat oleh seorang komander Hamas kepada Shin Bet dalam satu soal siasat selepas pejuang itu ditahan di Khan Yunis, Gaza, pada 21 Julai lalu. 
 
Dakwaan itu juga dinafikan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang menjelaskan Malaysia tidak pernah menawarkan latihan sedemikian kepada Hamas atau mana-mana kumpulan lain. 
 
"Adalah mustahil latihan sedemikian berlangsung di negara ini…ia tidak wujud sama sekali,” tegas beliau.
 
"Saya mahu menekankan bahawa Malaysia tidak menawarkan sebarang bentuk latihan peperangan untuk pejuang berkenaan. Mereka bebas untuk mendapatkan latihan di negara lain," ujar Wan Junaidi.
 
Serangan kejam rejim Zionis terhadap Palestin yang sudah memasuki hari ke-27 setakat ini telah mengorbankan hampir 1,400 nyawa, dengan angka rasmi korban yang dicatatkan sehingga semalam berjumlah 1,374.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.