Semua kita sayangkan parti dan sayangkan sahabat yang sama berjuang bagi menentang kumungkaran parti pemerintah. Kita harungi bersama, memerah pemikiran, tenaga dan keringat demi perjuangan ini.
Kita berada di sini atas nama jamaah. Perjuangan masih panjang dan pelbagai mehnah akan kita tempuhi.
Apakah kerana sesuatu yang berada di luar jamaah kita menyebabkan kita hilang setiakawan, hilang hormat dan nilai ukhuwah jamaah.
Apakah kita terperangkap dengan perancangan musuh bagi melemahkan perpaduan kita? Kita harus akui keperluan ikatan antara satu sama lain.
Perpecahan kita akan gembirakan musuh dan tentu akan mengecewakan rakyat yang mengimpikan perubahan.
Wahai sahabatku
Media baru ini akan memecahkan kita sebagaimana ia berlaku kepada jamaah lain. Semua kita ingin menulis, meluahkan kemarahan dan membongkar rahsia yang selama ini kita tutupi. Gembirakah kita dengan serangan, cemuhan dan kritikan itu buat sahabat kita?
Puaskah hati kita bila jamaah ini berpecah? Gembirakah kita bila membaca tulisan serangan antara kita, dan apakah kita boleh lena dengan keadaan ini?
Kalau kita sayangkan jamaah ini hentikan kritikan, serangan kepada sahabat seperjuangan. Tahankan diri dari membuat kenyataan yang menyerang satu sama lain kepada media. Berpuasalah dari bercakap sesuatu yang tidak memperkukuhkan jamaah kepada media perdana.
Doakanlah kebaikan sahabatmu tanpa pengetahuannya. Belalah sahabatmu sebagaimana kamu membela orang yang kamu sayangi. Ingatlah keruntuhan dan perpecahan kita hanya akan menggembirakan musuh kita.
Ya Allah. Perkukuhkanlah jamaah PAS ini dan peliharalah setiakawan kami dalam PR.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.