MALAYSIAKINI
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini memohon maaf kepada rakyat
Malaysia atas kegagalan skuad negara menghadiahkan gelaran dunia sempena
Hari Kemerdekaan ke-57, Ahad.
Timbalan presidennya Datuk Mohamad Norza Zakaria berkata beliau kecewa
dengan persembahan skuad negara pada Kejohanan Dunia BWF 2014 di
Copenhagen kerana gagal mengakhiri kemarau gelaran sejak kejohanan itu
diperkenalkan pada 1977.
Beliau turut bersimpati dengan nasib Datuk Lee Chong Wei yang terus
kempunan untuk memenangi kejuaraan dunia sulungnya walaupun telah
memberikan persembahan terbaik menentang pemain nombor dua dunia, Chen
Long dari China.
"Saya kecewa kerana kita gagal menamatkan badi selama 37 tahun namun
saya turut bersimpati dengan Chong Wei yang telah mencuba sedaya upaya
untuk menang namun nasib lebih memihak kepada Chen Long," katanya kepada
pemberita selepas menyaksikan perlawanan akhir kejohanan itu di sini.
Bagaimanapun, beliau bangga dengan peningkatan persembahan yang
dipamerkan oleh perseorangan utama wanita negara, Tee Jing Yi walaupun
kalah seawal pusingan kedua kepada juara dunia baru, Carolina Marin dari
Sepanyol.
Pilihan kesembilan itu melakar sejarah tersendiri selepas muncul pemain
Sepanyol pertama muncul juara dunia selepas mengejutkan juara Olimpik
dan pilihan utama, Li Xuerui dari China dengan kemenangan 17-21, 21-17
dan 21-18.
Malaysia gagal meraih sebarang kejuaraan selepas sebahagian besar wakil
negara termasuk pemain wanita negara tersingkir pada pusingan awal
kejohanan.
Kejohanan Dunia 2015 bakal diadakan di Jakarta, Indonesia.
Mohamad Norza berkata BAM akan terus mempertingkatkan usaha dalam
mengetengahkan pemain pelapis bagi menggantikan pemain senior sedia ada.
Katanya skuad negara tidak boleh terus mengharapkan Chong Wei untuk
terus menghadiahkan kejayaan untuk negara dalam sesuatu kejohanan.
Justeru, katanya BAM akan cuba mencari pelbagai kaedah untuk memastikan
pemain pelapis yang sedia ada akan terus dilatih dan diberi pendedahan
bagi mencari pengganti Chong Wei.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan