TEMERLOH: "Jika mereka 'gila publisiti' dan nak 'wang segera' carilah jalan lain, bukan dengan menyamar sebagai ahli PAS," Ketua Penerangan PAS Pahang, Suhaimi Saad.
Beliau menyatakan demikian sebagai respons berhubung tindakan sekumpulan 20 orang yang mendakwa ahli PAS mengadakan demo di padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) sebagai membantah keputusan Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat berkaitan isu Menteri Besar (MB) Selangor, Isnin lepas.
Kumpulan pemuda yang diketuai Mohd Shaiful Abdullah itu mendakwa mewakili rakan politik dari Rompin, Kuantan, Kuala Lipis, Temerloh dan beberapa kawasan lain di negeri ini yang tidak bersetuju dengan keputusan itu.
“Saya dan rakan-rakan sedang berusaha untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai lelaki ini (Mohd Shaiful). Ingat, teknologi sekarang menyebabkan dunia semakin sempit, identiti anda akan diketahui juga nanti,” ujar Suhaimi lagi.
Beliau mengesahkan kumpulan itu bukan ahli PAS tetapi pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk kepentingan tertentu.
“Saya telah merujuk kepada semua pimpinan PAS kawasan termasuk Kuantan, Lipis dan Temerloh sebagaimana yang didakwa oleh mereka yang kononnya datang dari kawasan berkenaan mengesahkan tidak mengenali seorang pun dalam gambar akhbar termasuk orang yang mendakwa sebagai jurucakap kumpulan itu.
“Sebahagian mereka pula kelihatan bersembunyi di belakang sepanduk yang dipegang bagaikan menyembunyikan tembelang agar tidak terburai,” katanya. - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.