HALAMAN SANTAI

Jumaat, 5 September 2014

Langkah Kajang dari persepsi lain




Oleh LIM HONG SIANG


BUKANNYA salah, tetapi ia tidak membawa kita ke mana seandainya "rakyat" hanya sebagai retorik politik pembangkang. Dengan senang kita meraih tepukan gemuruh seandainya mengeluarkan kenyataan seperti "kita lebih terpanggil untuk bersama rakyat, daripada terlibat dalam percaturan strategi politik seperti Langkah Kajang untuk merebut kuasa, yang tiada kena-mengena dengan kepentingan rakyat."

Ada asasnya untuk kita meluahkan rasa muak terhadap pergelutan kuasa yang berlaku - sama ada dalam barisan pemerintah mahupun pakatan pembangkang. Padahal politik Malaysia masih tersepit dalam kekangan struktur dan sistem yang sedia ada. Ia tidak mampu dileraikan sekadar dengan slogan manis seperti "untuk rakyat", atau "kuasa rakyat". Kita harus berupaya untuk membaca dan menafsir politik dari kerangka yang lebih besar, seandainya mahu menyelesaikan masalah rakyat.

Misalnya, setelah mengenal pasti bahawa misi pertukaran kerajaan Persekutuan tidak tercapai tanpa "Sabah dan Sarawak", ramai yang mengerah sumber dan tenaga dari Semenanjung untuk disalurkan ke kedua-dua negeri itu. Pelbagai usaha seperti pendaftaran pengundi, pembinaan komuniti, perkhidmatan guaman untuk mempertahankan tanah adat dan sebagainya - ditawarkan dengan harapan agar penduduk tempatan beralih ke Pakatan Rakyat dalam PRU.

Persoalannya, berapa sumber yang mampu dikerah dari pembangkang Semenanjung untuk membantu pembinaan komuniti kaum asal di pedalaman Sabah dan Sarawak? Terdayakah kita untuk berulang-alik dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak pada kekerapan yang memadai untuk menjalin hubungan yang erat? Persoalan ini menjadi lebih pedih, apabila hakikatnya menyaksikan pertambahan undi kepada BN di sesetengah kawasan ini - kerana penduduk tempatan akhirnya tunduk kepada ugutan dan godaan yang menghujan dari BN, semalam sebelum hari mengundi.

Saya tidak berhasrat memperlekehkan usaha di akar umbi, sebaliknya menghargai dan menyanjung tinggi mereka yang terlibat untuk membawa perubahan. Apa yang ingin saya tunjukkan adalah, usaha kita akan digagalkan begitu sahaja kerana ketidakadilan itu berakar umbi dalam sistem dan struktur ini sendiri.

Oleh itu, usaha kita untuk menumbangkan rejim Umno-BN tidak akan berhasil seandainya kita terus selesa dengan cara lama, terpukau dengan retorik sendiri - kononnya kesemua yang dilakukan adalah "untuk rakyat" - tanpa kita memikirkan sesuatu di luar kotak - bahawa percaturan strategi juga penting untuk menggoyah kestabilan rejim musuh.

Sememangnya saya jemu dan bosan dengan pergelutan kuasa untuk kepentingan diri - sesuatu yang harus dikecam sekeras-kerasnya jikalau berlaku dalam pakatan pembangkang. Tetapi saya tidak naif untuk mengandaikan ia tidak akan berlaku dalam Pakatan Rakyat.

Cabaran kita, bagaimana kita menguruskan pertentangan ini, menggembleng tenaga semaksimum yang mungkin untuk menumbangkan rejim Umno-BN buat kali pertama dalam sejarah?

Maka dalam konteks sedemikian, Langkah Kajang menjadi satu keperluan. Saya tidak faham mengapa sehingga hari ini, masih ramai yang menuding jari kepada Anwar Ibrahim, kononnya krisis Selangor berpunca daripada keluarga ini.

Kemudian kritikan seperti Raja Nepotisme dilontarkan, seolah-olah kita baru sahaja tahu kedudukan Wan Azizah Wan Ismail pada hari ini.

Padahal, seandainya Mahathir Mohamad tidak menjatuhkan Anwar dengan tuduhan liwat, mengerah segala mekanisme seperti mahkamah, media, polis dan sebagainya untuk menyerang Anwar, maka pertarungan politik pada tahun 1998 akan menyaksikan pertembungan terus Anwar-Mahathir.

Sama ada jawatan Ketua Umum, meletakkan anak perempuannya Nurul Izzah untuk bertanding di Lembah Pantai - kesemua ini strategi, keperluan dan reaksi politik terhadap Umno-BN. Tanpanya, barangkali Malaysia tidak mencatat sejarah PRU12 sebagai tsunami politik. Tanpa "tsunami politik" pada tahun 2008, sudah tentu kita tidak terbayang untuk menukar kerajaan Persekutuan pada tahun 2013.

Persoalannya, siapakah di kalangan kita yang menuduh Anwar Ibrahim sebagai Raja Nepotisme ketika itu? Siapakah di kalangan kita yang mengecam tindakan Wan Azizah meletak jawatan sebagai ahli Parlimen Permatang Pauh, untuk memberi laluan kepada suaminya agar kembali ke Parlimen?

Jawapnya tiada! Kerana kita sedar ianya sebagai langkah politik yang seiring dengan keperluan zaman, dan paling penting kita nampak pada ketika itu bahawa Anwar adalah tokoh yang mampu memimpin Pakatan Rakyat untuk menawan Putrajaya!

Jadi, mengapa pula kita terikut-ikut dengan retorik Umno-BN sekarang, apabila Langkah Kajang dimulakan? Langkah ini sebagai titik pemisah, untuk membebaskan Pakatan Rakyat dan gerakan sosial daripada diselubungi suasana kemurungan.

Cuba imbas, untuk hampir setahun kita terbelenggu dalam suasana muram dan sayu selepas digagalkan dalam PRU13. Pakatan terikut-ikut dengan rentak Umno-BN, mengambil corak permainan yang berhati-hati - sekadar mengawal. Kerajaan negeri kembali kepada rutin masing-masing, tanpa halatuju yang jelas, dan paling penting, gagal mencetuskan sebarang momentum untuk menggugat rejim Umno-BN.

Lihat sahaja reaksi Umno kita sudah pasti bahawa langkah ini meluncur di landasan yang tepat. Anwar akan mengasak Umno dengan segala strategi yang mampu. Musuh yang gagal diramal adalah musuh yang paling digeruni. Dalam sejarah, hampir semua tokoh mahu menjaga nama dirinya.

Tetapi sekadar menjaga nama tanpa mengubah sejarah barangkali bukan pilihan paling sesuai - pada peringkat di mana sejarah Malaysia seolah-olah terbeku. Kita memerlukan watak yang mampu mengocakkan airnya untuk merangsang kedinamikan di dalamnya.

Langkah Kajang tidak semestinya berakhir dengan apa yang dihasratkan sebermulanya. Penggantian Wan Azizah juga tidak semestinya menjamin sesuatu yang lebih baik daripada Khalid Ibrahim. Namun inilah politik.


Kita mungkin mati kerana ketandusan tenaga kerana meronta-ronta dalam
air
dan menjerit-jerit meminta tolong, tetapi kita juga akan mati lemas terbeku seandainya kita mendiamkan diri dan terlalu pengecut untuk menanggung risikonya.


Saya menganggap inilah zaman yang paling sukar untuk Pakatan Rakyat. Barang siapa yang gagal melihat senario politik dalam kerangka yang lebih besar, sekadar berpuas hati dengan kerjanya "bersama rakyat" - tanpa memikirkan percaturan strategi yang lebih besar, maka kita akan terperangkap di situ selama-lamanya.

Tiada ulasan: