Oleh Mageda Muda Mohd Nor
KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Syukor Idrus
berkata, jika Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dilantik
menjadi Menteri Besar Selangor yang baharu ia adalah 'luar biasa' dan
satu sejarah baru tercipta.
Katanya, belum ada dalam sejarah Selangor, individu yang bukan anak
jati negeri itu serta seorang wanita dilantik untuk jawatan tersebut.
"Ini tidak pernah berlaku, Pakatan Rakyat telah mencipta sejarah baru," kata ADUN Kuang itu.
Bagaimanapun, tegasnya Umno negeri akan menerima sesiapa sahaja Menteri
Besar yang dipilih oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Beliau menambah, tiada ada sebarang masalah kepada Umno untuk berkerjasama dengan Menteri Besar yang baru sekalipun Azizah.
"Lihat kita menyokong perjanjan Langat 2 yang dibuat oleh (Menteri
Besar) Tan Sri Abdul Kahlid Ibrahim, Menteri Besar Selangor dari PKR.
"Yang penting Menteri Besar menjaga kebajikan rakyat Selangor, yang
baik kita sokong tetapi yang tidak elok kita bantah" tambahnya.
Manakala, Pengerusi Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS),
Hamidzun Khairuddin pula berkata, rakyat negeri itu akan marah jika
Menteri Besar bukan rakyat tempatan.
Menurutnya, seperti rakyat negeri-negeri lain, warga Selangor mahukan anak jati menjadi Menteri Besar.
"Rakyat Kelantan akan marah jika orang Terengganu menjadi Menteri Besar
Kelantan, orang Melaka akan marah jika rakyat Johor yang menjadi Ketua
Menteri.
"Begitu juga dengan orang Selangor, mereka mahu rakyat negerinya yang
menjadi Menteri Besar. Atau sekurang-kurang mereka warga Malaysia. Jadi
Dr Wan Azizah kena buktikan beliau dilahirkan di Malaysia," katanya.
Hamidzun yang juga seorang peguam berkata, untuk menjadi Menteri Besar Selangor tidak mestinya memegang jawatan utama parti.
"Jadi untuk menjadi Menteri Selangor tidak semesti memegang jawatan Presiden parti," ujarnya.
Dalam isu Selangor, PKR dan DAP berkeras mencalonkan Dr Wan Azizah untuk menggantikan Khalid yang telah dipecat dari PKR.
Bagaimanapun, Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu Pakatan Rakyat iaitu
PAS, DAP dan PKR mengemukakan dua nama calon kepada pihak istana.
Baginda juga menolak perletakan jawatan Khalid sehingga penggantinya dilantik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.