SEPANG - Petugas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang
pulang ke tanah air pada Isnin menyifatkan pengalaman 44 hari
menguruskan jenazah mangsa tragedi penerbangan MH17 Malaysia Airlines di
Belanda adalah suatu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
Imam Besar Masjid Putra Putrajaya, Abdul Manaf Mat berkata dalam tempoh
waktu itu petugas berhadapan dengan peralihan cuaca panas ke sejuk serta
berpuasa selama 19 sehingga 20 jam.
"Semasa menguruskan jenazah apa yang saya fikirkan hanya untuk
menyempurnakan kewajipan fardu kifayah," katanya kepada pemberita
selepas tiba dari Amsterdam di Lapangan Terbang Antarabangsa KL di sini
pagi Isnin.
Ketibaan Abdul Manaf yang juga Ketua Petugas Jakim bersama tiga yang lain disambut Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha.
Beliau yang berada di sana sejak 18 Julai lepas bersama sembilan petugas
lain, berkata tiada perbezaan bagi menyelesaikan ibadah tersebut namun
sedikit janggal kerana lokasi pengurusan jenazah jauh beribu batu di
negara orang.
"Di sana bila ada kematian urusan jenazah dilakukan di satu tempat yang
di khaskan tidak seperti di Malaysia kita uruskan di masjid
berhampiran," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata syarikat pengurusan jenazah di Belanda
juga tertarik dengan cara petugas melaksanakan pengurusan jenazah dari
langkah pertama iaitu proses memandikan, kafan, sembahyang jenazah dan
akhir dikebumikan.
Semasa proses pengurusan jenazah, petugas Jakim juga dibantu oleh Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) dan komuniti Islam di sana.
Seorang petugas wanita, Sitaton Mohd Osman, 56 berkata proses
menguruskan jenazah wanita muslim warga tempatan dimudahkan atas doa
rakyat Malaysia.
"Setiap jenazah dapat dimandikan dan dikafankan dalam masa antara
setengah jam sehingga 45 minit," katanya yang juga Pembantu Hal Ehwal
Islam di Bukit Aman.
Sementara itu Othman berkata seramai empat petugas Jakim termasuk dua
wanita yang diketuai Imam Besar Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin
Putrajaya, Hazarudin Baharudin telah berada di Belanda bagi menyambung
tanggungjawab menguruskan jenazah.
"Empat petugas ini mungkin akan berada di sana sehingga urusan pengurusan jenazah semua rakyat Malaysia selesai,"katanya.
Penerbangan MH17 sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur
ketika ia terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine pada 17 Julai
lepas.
Pesawat Boeing 777 itu, yang membawa 298 penumpang dan anak kapal, telah
ditembak jatuh namun sehingga kini tiada pihak mengaku
bertanggungjawab.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.