Halaman

Rabu, 3 September 2014

Setelah Dibelasah Parti Gerakan, Zahid Hamidi Pusing Tuduh DAP Pula

KELAB GREENBOC


Kenyataan bukan Melayu ‘angkuh’ dituju kepada DAP, kata Zahid Hamidi


Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan golongan ‘bukan Melayu’ yang disebut olehnya bukanlah masyarakat bukan Melayu keseluruhan tetapi hanya merujuk kepada pemimpin dan penyokong DAP.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengatakan kenyataannya bukan Melayu semakin angkuh, menghina kaum Bumiputera, institusi raja dan Islam disalah tafsir sebuah akhbar berbahasa Inggeris.

Menurut menteri dalam negeri itu, beliau sebaliknya berkata, "bukan Melayu" yang beliau maksudkan merujuk kepada pemimpin dan penyokong DAP.

"Tetapi tidak boleh dinafikan penyokong DAP mengambil pendekatan berbeza dengan keangkuhan mereka dalam politik," kata naib presiden Umno itu seperti dilaporkan akhbar berbahasa Inggeris The Star.

Zahid berkata, ini terbukti dalam kenyataan yang dikeluarkan parti pembangkang dan penyokong mereka, terutama yang disiarkan di laman portal pro-pembangkang dan media sosial.

Hari ini akhbar The Sun memetik beliau sebagai berkata, kaum Melayu terpaksa membayar harga kerana terlalu baik dan golongan bukan Melayu semakin angkuh di negara ini.

Beliau dilaporkan berkata penghinaan dibuat atas alasan demokrasi, kebebasan bersuara dan globalisasi.

Menurut Zahid, beliau tidak akan menyokong mereka yang mengeluarkan kenyataan menghina masyarakat Melayu dan mahu polis mengambil tindakan terhadap kumpulan tersebut. -TMI


Pemuda Gerakan mahu Zahid didakwa menghasut


Pemuda Gerakan hari ini menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi didakwa menghasut kerana kenyataannya yang mendakwa orang bukan Melayu kini angkuh kerana diberi muka oleh orang Melayu.

Timbalan Ketua Pemuda Gerakan, Andy Yong membuat perbandingan di antara kenyataan Zahid itu dengan tuduhan terhadap pensyarah undang-undang, Dr Azmi Sharom yang didakwa di bawah seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan pagi ini.

Menurut Andy, kenyataan Zahid itu menepati maksud "kecenderungan menghasut" yang dijelaskan dalam seksyen 3(1)(e) akta yang sama.

Kecenderungan menghasut dalam seksyen itu didefinisikan sebagai "mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk yang berlainan di Malaysia".

"Walaupun saya tidak menggemari undang-undang itu, saya tak nampak sebarang sebab tindakan yang sama tidak boleh dikenakan terhadap Zahid," katanya dalam kenyataan hari ini.

Portal TheSunDaily semalam melaporkan Zahid berkata orang-orang Melayu kini "membayar harga" akibat terlalu baik kepada orang bukan Melayu.

Naib presiden Umno itu mendakwa orang bukan Melayu kini semakin angkuh dan menghina bumiputera, Raja dan Islam.

Kenyataan dilaporkan dibuat Zahid sewaktu merasmikan mesyuarat Umno bahagian Segambut.

Menurut Andy, Zahid sama sekali tidak perlu mengeluarkan kenyataan demikian sama ada di depan sekumpulan orang Melayu atau pun dengan tujuan menjadikan orang bukan Melayu secara keseluruhannya sebagai sasaran.

"Malah, kenyataan demikian menggalakkan lagi kebencian antara kaum dan mempolitikkan dominasi kaum yang tidak sihat dalam negara ini," katanya.
-mk

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.