HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 Oktober 2014

Umat Islam perlu beri perhatian kenyataan Qaradawi



 Oleh Amidi Abdul Manan


Merujuk kepada kenyataan yang ditulis Prof. Dr. Yusof Al-Qaradawi, Pengerusi Persatuan Ulama Sedunia berkaitan kes fitnah Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kenyataan itu bertarikh 26 Oktober 2014, bersamaan 2 Muharam 1436.

Dalam kenyataan itu, beliau menegaskan bahawa pertuduhan tanpa disertai 4 orang saksi adalah satu kebohongan di sisi Allah s.w.t. Beliau juga menyeru agar kita semua beriman dengan firman Allah dalam kisah Hadith Al-Ifk pada Surah An-Nur ayat 12-13.

Walaupun pertuduhan ini menjangkau bertahun-tahun, nampaknya ulama yang berkepentingan yang membawa pandangan-pandangan picisan masih lagi gagal menyakinkan beliau. Sudah tentu Yusof Al-Qaradawi mempunyai hujah yang berasaskan ilmu yang mendalam dalam mengekalkan pandangannya.


Beliau juga dengan tegas tanpa ragu-ragu mempersoalkan kredibiliti sistem kehakiman negara yang sedang digunakan untuk melindungi kepentingan pihak-pihak tertentu. Keyakinan beliau terhadap Anwar juga tidak tergugat apabila memperihalkan tentang kegigihan, kesabaran dan ketabahan beliau dalam perjuangan Islam dari zaman mudanya lagi.

Marilah semua umat Islam di Malaysia, memberi perhatian kepada peringatan dan pandangan seorang ulama yang diakui keilmuannya dan diiktiraf di seluruh dunia termasuk di Malaysia yang menganugerahkannya Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa 2009.

Abim juga secara khusus menyeru kepada Mohd. Saiful Bukhari bin Azlan bertaubat jika benar apa yang dikatakan Yusof Al-Qaradawi dalam surat peringatannya itu.

Amidi Abdul Manan merupakan presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Tiada ulasan: