Lim Guan Eng Lim Guan Eng
 
 
GEORGETOWN - Jaminan ke atas 158 ahli Pasukan Peronda Sukarela (PPS) yang ditahan menyertai perarakan Hari Kebangsaan ke-57 di Padang Kota Lama, tidak dilanjutkan lagi.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, keputusan tidak melanjutkan jaminan ke atas ahli PPS itu, adalah satu kemenangan untuk ahli PPS dan orang awam di negeri ini.

“Kemenangan ini jelas membuktikan ahli PPS ikhlas membantu polis tanpa mengharap apa-apa ganjaran,” katanya pada sidang media, di pejabatnya, di sini, semalam.

Guan Eng berkata, kerajaan negeri akan meneruskan usahanya menuntut keadilan bagi memastikan nama ahli PPS bersih.

“PPS bukanlah satu pertubuhan haram kerana kerajaan negeri yang menubuhkannya. Oleh itu, ia tidak perlu berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS),” katanya.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri mendapat maklumat, polis akan berjumpa dengan peguam negara untuk mengkaji kes ini.

“Kalau sudah ada bukti, kenapa tunggu lama untuk dakwa? Saya harap, pihak peguam negara tidak akan mengikut desakan pihak tertentu membawa kes itu sungguhpun tiada bukti kukuh,” katanya.

Justeru, beliau berkata, dalam usaha membuktikan PPS sebagai pertubuhan yang sah, kerajaan negeri melantik peguam terkemuka untuk mencabar tindakan Kementerian Dalam Negeri yang mengisytiharkan PPS sebagai sebuah pertubuhan haram.