Rakyat Sabah dan Sarawak sudah faham bahawa sekiranya keluar Malaysia ianya tidak akan menguntungkan mana-mana pihak.
PETALING JAYA: Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata tindakan pihak menghasut rakyat pribumi negeri Sabah dan Sarawak bangkit menuntut keluar dari persekutuan merupakan agenda pihak yang tamakkan kuasa politik.
Menurut beliau, rakyat Sabah dan Sarawak sudah memahami bahawa agenda pemisahan tidak akan menguntungkan mana-mana pihak, jika Malaysia berpecah kepada beberapa negeri yang berasingan.
“Ia hanyalah demi ketamakan politik golongan tertentu yang sentiasa rakus dan tidak pernah puas,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, rakyat di kedua-dua negeri tersebut terutamanya penduduk pribumi dinasihatkan supaya tidak terpengaruh dengan seruan tersebut dan mempertahankan perpaduan di dalam negara Malaysia.
Pada masa yang sama beliau berkata, kerajaan pusat harus meningkatkan lagi usaha bagi menghapuskan gerakan kempen pemisahan yang akan merosakkan keamanan dan kestabilan negara.
“Pihak berkuasa perlu menunaikan janjinya untuk tidak bertolak ansur dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak-pihak yang terbabit sekiranya mereka didapati membawa agenda pemisahan,” ujarnya.
Tambah beliau, kenyataan tersebut dibuat berdasarkan pegangan prinsip bagi mempertahankan perpaduan pribumi di seluruh Malaysia yang menggabungkan semenanjung dan Sabah Sarawak.
Zaik menjelaskan, ini kerana, seluruh rakyat Malaysia dari pelbagai agama dan etnik adalah bersaudara dan berkongsi sejarah, kepentingan dan masa depan.
Sebelum ini, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menegaskan semua pertubuhan yang berkempen membawa Sabah dan Sarawak keluar dari Malaysia adalah haram, susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengekalkan Akta Hasutan.
Menteri Dalam Negeri itu berkata, kementerian sudah mengambil langkah membatalkan semua pertubuhan yang terlibat dalam kempen tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.