Kerajaan perlu mengkaji semula mekanisme perundangan bagi mereka yang tidak mematuhi Akta Orang Kurang Upaya (OKU) 2008.
Pemangku Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam),
Datuk Dr Khaw Lake Tee berkata walaupun kerajaan telah menguatkuasakan
akta itu, dan melancarkan Strategi Incheon 2013-2022: Dekad Baharu untuk
OKU di Malaysia, Julai tahun lepas, tetapi tiada peruntukan dimasukkan
berhubung dengan kegagalan mematuhi Akta 2008.
"Di Malaysia, OKU terus dinafikan hak mereka, antara lain, dimasukkan
dalam sistem pendidikan umum dan diambil bekerja dalam sektor swasta dan
awam," katanya kenyataan sempena Hari Antarabangsa OKU yang akan
disambut di seluruh dunia semalam.
Bagaimanapun, beliau tidak menafikan bahawa kerajaan selaras dengan
Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai Hak OKU,
telah melaksanakan Dasar Kebangsaan dan Pelan Tindakan ke atas mereka,
yang memberi panduan untuk rakan-rakan dan pemegang berkepentingan dalam
usaha untuk membawa OKU ke dalam arus perdana, serta Majlis Kebangsaan
bagi OKU yang dipengerusikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga
dan Masyarakat, untuk memantau pelaksanaan dasar dan program-program
berkaitan OKU.
Dr Khaw berkata terdapat keperluan untuk komitmen tegas dan usaha yang
berterusan oleh pihak berkuasa untuk mengenal pasti dan mengatasi
halangan yang terus mendiskriminasi orang kurang upaya.
"Kami ingin menyatakan bahawa kesamaan dan tidak mendiskriminasikan
orang kurang upaya harus dimasukkan dalam semua dasar dan rangka kerja
kebangsaan termasuk Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan,"
katanya.
Beliau berkata terdapat juga keperluan untuk menetapkan tempoh masa
untuk memperuntukkan amalan yang mencukupi untuk mencapai pengiktirafan
yang lebih tinggi terhadap hak asasi manusia orang kurang upaya termasuk
peka kepada usaha ke arah mematuhi Konvensyen mengenai Hak OKU dan
protokol pilihan.
"SUHAKAM juga menggesa kerajaan menarik balik penangguhan bagi mematuhi
konvensyen itu dan meratifikasikan Protokol Pilihan," kata beliau.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.