shahbudindotcom
"Kita
tidak ada banyak masa untuk menunggu perubahan berlaku. Kita perlu
merekayasa perubahan. If change does not happen, we have to engineer the
change. Justeru pada hemat saya, wajar untuk kita pertimbangkan
pemilihan parti dilaksanakan mengikut kehendak Perlembagaan UMNO dan
tidak ditangguhkan sehingga selepas pilihanraya umum seperti yang pernah
dibuat sebelum ini".
Malangnya
isi yang amat penting dalam ucapan Muhyiddin itu, bahkan selaras dengan
seruan perubahan atau dalam slogan lengkapnya "rebah jika tidak
berubah" sebagaimana yang kerap diucapkan oleh Najib Razak, tidak
disiarkan secara meluas di media-media arus perdana. Ia bahkan seperti
cuba diselindungkan.
Dalam
ucapan dan perbahasan para perwakilan pula, tidak ada sesiapa yang
menyambut seruan Muhyiddin itu. Lalu, ia berakhir begitu saja dan
kemudian terus dilupakan.
Tetapi
berdasarkan perkembangan semasa dalam UMNO dan kerajaan ketika ini di
mana suara yang menegur, mengkritik dan mendesak Najib Razak agar
berundur dan meletakkan jawatan kian membesar, saranan Muhyiddin yang
mahukan pemilihan diadakan mengikut Perlembagaan UMNO dan tidak lagi
ditangguhkan sehingga selepas pilihanraya umum, wajar direnung semula.
Kebimbangan
ramai dalam UMNO ialah Najib yang diselubungi dengan pelbagai masalah,
pekung dan kudis, lebih mungkin membawa UMNO dan BN ke lembah kekalahan
berbanding menjejak mercu kejayaan dalam pilihanraya akan datang.
Asas
utama kenapa Najib semakin tidak diyakini ialah beliau sendiri tidak
mahu berubah sebagaimana kerapnya perkataan itu terpacul dari mulutnya.
Kata-kata perubahan hanyalah retorik semata-mata tetapi tiada satu pun
yang berubah, sama ada melibatkan pengurusan UMNO, kerajaan, hubungan
kaum, agama, menangani krisis, masalah berkaitan isteri, pegawai dan
penasihat serta pelbagai lagi.
Sebaliknya,
hutang kian bertambah, ekonomi merosot, pasaran saham dan nilai
ringgit merudum, kehidupan rakyat terutama di luar bandar terjejas dan
negara seolah-olah terperangkap dengan seribu satu masalah yang tidak
berkesudahan.
Bagaimanapun,
di sebalik semua itu, Najib tidak mahu berundur atau meletakkan
jawatannya. Beliau sebolehnya ingin terus kekal menghuni Seri Perdana
serta percaya rakyat parti dan rakyat masih mahukannya.
Oleh
itu, satu-satunya jalan merungkai perdebatan ini ialah dengan
mengadakan pemilihan UMNO sebelum pilihanraya umum dilangsungkan.
Ditambah
dengan konflik yang sedang berlaku antara Najib dengan Mahathir dan
Daim serta cakap-cakap yang makin meluas bahawa Perdana Menteri lebih
mungkin bersatu dan "cium mulut" dengan Anwar Ibrahim bagi menyelamatkan
masa depan politiknya, menjadikan saranan Muhyiddin selaku Timbalan
Presiden UMNO itu lebih kukuh untuk dijadikan realiti.
Sejak
Pak Lah memimpin UMNO pada 2003, beliau telah memperkenalkan pendekatan
menangguhkan pemilihan UMNO sehingga pilihanraya umum diadakan.
Lantaran itu, perlembagaan UMNO turut dipinda dengan membenarkan
pemilihan ditangguhkan sehingga 18 bulan. Ia menjadikan pemilihan UMNO
yang sepatutnya diadakan setiap tiga tahun terpaksa mengikut tempoh
pilihanraya selama lima tahun.
Alasan
penangguhan itu ialah supaya UMNO terus bersatu dalam menghadapi
pilihanraya. Tradisi itu kemudian diikuti oleh Najib. Tetapi di zaman
Mahathir, ia tidak dilakukan dan menjadi perkara biasa pemilihan UMNO
diadakan sebelum pilihanraya umum.
Isu
utama yang menjadi persoalan UMNO ketika ini ialah memenangi
pilihanraya. Sementara Najib ingin terus kekal, sebahagian besar ahli
dan pimpinan UMNO, walaupun tidak semuanya berani berkata benar, lebih
yakin harapan menang itu amat tipis jika beliau terus menjadi ketuanya.
Dua
bekas pemimpin UMNO yang paling berpengaruh, Mahathir, Daim serta
beberapa yang lain juga berpandangan sama, lantas tampil memberi teguran
agar Najib segera meningkatkaan prestasi dan memperbaiki segala
kelemahannya.
Namun,
Najib bukan saja enggan melayan teguran ke arah kebaikan UMNO itu,
malah cuba mempertahankan apa yang dilakukannya. Di suatu ketika Najib
juga bangga mengatakan beliau adalah "brand" kepada UMNO.
Dalam
menangkis serangan Mahathir serta Daim dan percubaan mempertahankan
kuasa, menjadi perbualan dan keyakinan ramai juga bahawa Najib mungkin
akhirnya memilih bersatu dengan Anwar kerana kedua-dua bekas pemimpin
itu sudah menjadi musuh bersama mereka.
Ia
terpancar daripada kesungguhan media arus perdana yang dibawah kawalan
Najib mulai memberi ruang yang amat luar biasa kepada Anwar dan PKR
untuk menyerang Daim.
Sementara
"cium mulut" Najib dengan Anwar tidak dianggap mustahil dan episod
lawan bertukar jadi kawan adalah perkara biasa dalam politik dan
percaturan kuasa, tetapi yang mungkin menimbulkan masalah ialah
penyokong kedua-dua pemimpin berkenaan.
Sebagaimana
penyokong Anwar masih keberatan menerima Najib, ramai ahli dan
penyokong UMNO juga menolak Anwar sebagai regu Najib untuk berlawan
dengan Mahathir dan Daim. Setelah memaki-hamun, mencaci dan menggelar
Anwar selama bertahun-tahun dengan pelbagai gelaran, ramai yang masih
"geli" untuk menerimanya sebagai pemimpin yang disanjung dan dipuja
pula.
Lantaran
itu, adalah penting untuk Najib bersetuju dengan saranan Muhyiddin agar
pemilihan UMNO diadakan mengikut perlembagaannya dan tidak lagi
ditangguhkan. Mengikut perlembagaan, pemilihan UMNO sebelum ini ialah
pada 2013 dan yang seterusnya mesti diadakan pada 2016.
Hanya
dengan mengadakan pemilihan UMNO mengikut jadualnya, Najib dapat
menguji dirinya. Hanya dengan membenarkan pemilihan diadakan juga,
UMNO dapat menentukan sama ada Najib terus layak memimpin parti untuk
pilihanraya seterusnya pada 2018 nanti atau sebaliknya.
Jika
mahukan Najib, teruslah memilihnya sebagai Presiden UMNO dan kalau
dirasakan beliau lebih mungkin membawa kekalahan, inilah masanya
melakukan perubahan dan memilih pemimpin lain yang lebih diyakini.
Pilihlah antara Muhyiddin, Zahid Hamidi, Hishammuddin Hussein, Shafie
Apdal atau sesiapa saja yang dirasakan lebih layak.
Begitu
juga dengan ura-ura Najib untuk bersatu dengan Anwar, inilah juga
masanya UMNO membuat penentuan sama ada mahu menerima atau menolaknya.
Bagi
Mahathir, Daim, Sanusi Junid dan lain-lain pemimpin yang mahu perubahan
kepimpinan dalam UMNO untuk memastikan kuasa tidak terlepas ke tangan
parti lain, inilah waktu paling tepat merealisasikan perubahan itu.
Dalam
masa yang sama, ia juga adalah ujian kepada seluruh ahli dan kepimpinan
UMNO sama ada benar-benar mahukan perubahan dan apakah keinginan menang
dalam pilihanraya masih menjadi keutamaan?
Apa
yang lebih bagusnya, jika setelah diadakan pemilihan dan ditakdirkan
kalah dalam pilihanraya, tiada mana-mana pemimpin lagi yang boleh
dipersalahkan mengenainya. Kiranya menang pula, ia adalah kemenangan
UMNO secara mutlaknya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.