MSO
Hubungan parti agama Pas dengan parti chauvenis Cina DAP
nampaknya kian runcing. Kedua belah parti saling tembak menembak dan
singgung menyinggung antara satu sama lain. Keduanya sama-sama
menegakkan keyakinan masing-masing tidak mahu mengalah. Macam kucing
jantan berebut betina, sama-sama menunjukkan "meow" yang kuat.
Keruncingan ini sebenarnya bukan bermula sejak meletusnya isu Hudud,
tetapi hubungan keduanya menjadi hangat dan panas sejak lama dahulu
lagi. Ia seperti api dalam sekam yang membakar tanpa keluarkan asap.
Telah ada sejarah kerenggangan kedua-dua parti itu. Saya tidak mahu
mengatakan DAP seperti budak-budak seperti mana didakwa pemimpin Pas,
tetapi Pas juga lebih kurang budak-budak, berfikir tidak putus mengenai
DAP ini. Pas tidak ada pendirian sendiri terhadap DAP.
Masalah Pas dan DAP bukan soal peribadi mana-mana
pemimpin kedua-dua parti itu, tetapi soal perbezaan ideologi yang
dibawanya. Ia bukan kerana Lim Kiat Siang tidak sukakan Abdul Hadi Awang
atau sebaliknya, tetapi kerana perbezaan ideologi dan matlamat
perjuangan.
Pas membawa perjuangan untuk menegak dan menerapkan nilai-nilai Islam
dalam pemerintahan negara ini. Manakala DAP pula memperjuangkan
membebaskan keadilan sosial yang liberal. DAP mahu menjadikan Malaysia
hak semua rakyat tanpa dominasi Melayu. Situasi ini ditambah dengan
minat Pas yang ke belakangan ini turut memperjuangkan bangsa.
Pegangan ideologi politik DAP ialah liberalisme, manakala Pas ialah
"agamanisme". Ia bagaikan api dengan minyak yang tidak disulin dan
disaringkan.Kedua bahan mentah itu menjadi mudah terbakar.
Jadi melihat kepada perbezaan inilah maka keduanya tidak mungkin dapat
berdamai dalam tempoh yang lama untuk satu tujuan. Kalau diibaratkan
hubungan mereka umpama sebuah perkahwinan, perkahwinan mereka bukan
berlangsung atas dasar cinta sama cinta, tetapi kerana paksaan. Dalam
hal ini, dilihat dari konteks Pakatan Rakyat, orang yang memaksa mereka
berkahwin ialah Anwar Ibrahim.
Anwarlah yang mengijabkabulkan mereka agar berkolobrasi dalam pilihan
raya bersamanya untuk menumbangkan kerajaan UBN. Anwar seronok dengan
majlis perkahwinan mereka itu kerana beliau mendapat laba untuk makan
gulai. Seperti mana saya katakan sebelum ini apabila Anwar Ibrahim
diasingkan ke dalam penjara, perpecahan dalam Pakatan Rakyat akan
berlaku.
Sebagai orang tua atau mediator Anwar tidak dapat memberi nasihat dan
didikan lagi kepada Pas dan DAP kerana dihalang besi penjara. Dan antara
tujuan pemenjaraan Anwar itu ialah untuk tidak membolehkan Anwar
membujuk Pas dan DAP. Agenda itu sudah membuahkan hasil. Apakah Pas dan
DAP menyedari hakikat ini atau tidak?
Hal ini hari ini sudah nampak jelas. Perkembangan hubungan antara DAP
dan Pas yang disebabkan tidak sefahaman mengenai hukum Hudud membuktikan
apa yang saya bayangkan itu. Melihat kepada senario kini, jalan untuk
Pas dan DAP kembali duduk serumah semula sudah mustahil, kecualilah
generasi baru yang lebih edukated politik menguasai kedua-dua parti itu.
Walaupun ada pemimpin Pas yang cuba mendamai dan menyejutkan keadana,
tetapi ia sia-sia sahaja. Apa lagi yang berusaha mendamaikan semula DAP
(Kit Siang dan Guan Eng) dengan Abdul Hadi (Pas) itu beberapa pemimpin
sahaja yang mereka sendiri diprejudis dan ditohmah dengan macam-macam
tohmahan. Manakala yang lain seakan suka kalau Pas terus putus hubungan
dengan DAP. Kenyataan dikeluarkan bersemangat agar Pas memutuskan
hubungan dengan DAP dan menjalinkan hubungan dengan rakan baru Umno.
Berdasarkan itu, Pas dan DAP bolehlah bersiap sedia untuk menghadapi
pilihan raya ke-14 kelak tanpa bantuan antara satu sama lain. Kalau
kata-kata Mohd Amar Nik Abdullah boleh dipakai, dimana dia kata, Pulau
Pinang juga akan kalah tanpa kerjasama dengan Pas, bererti pilihan raya
akan datang memperlihatkan kedua-dua parti itu dalam keadaan kritikal
dan bakal kehilangan kuasa.
Walaupun di Kelantan DAP tidak menjadi faktor menang dan kalah Pas,
tetapi perbalahan itu boleh mempengaruhi suasana di Kelantan. Yang
pastinya kerusi-kerusi Pas di luar Kelantan bakal hanyut. Sejujurnya..
dan untuk tidak memeningkan kepala dicadangkan Pas putus sahaja
kerjasama dengan DAP jangan adakan lagi persefahaman walau apa pun
keadaan. Kedua-duanya jangan jadi budak-budak.
Saya bimbang kalau Pas juga bersikap cocoh jilat dalam hal ini
menyebabkan orang ramai khasnya pengundi atas pagar akan keliru dan muak
dengan Pas. Pas yang dilihat sebagai sebuah parti berwibawa dan
berintegriti akan rosak. Apabila orang sudah tidak sukakan kita untuk
apa tunggu lagi, "cau"lah. Itu yang lebih baik dan bermaruah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.