Halaman

Selasa, 24 Mac 2015

IGP: Protes di pejabat kastam satu pencerobohan

MALAYSIAKINI


 


Mereka yang terlibat menyerbu masuk ke Kompleks Kastam di Kelana Jaya ketika mengadakan demonstrasi membantah pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana menceroboh.
  
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis Selangor sedang meneliti kes berkenaan untuk tindakan selanjutnya.
  
"Ini merupakan satu pencerobohan yang mereka lakukan dan biarlah pihak polis Selangor meneliti dulu kedudukan mereka terbabit," katanya kepada pemberita selepas Majlis Bacaan Yassin sempena Peringatan Hari Polis yang ke-208 di Masjid Bukit Aman, di ibu negara, malam tadi.
  
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai mereka yang terbabit dalam protes CBP yang ditahan selepas bertindak menyerbu masuk ke kompleks berkenaan pagi tadi.
  
"Kita tidak boleh biarkan keadaan begini berterusan, saya hairan dengan apa yang mereka nak, kenapa sampai macam itu sekali, seolah-olah hendak menawan Kompleks Kastam itu," katanya.

Menurut laporan media dalam talian, berpuluh-puluh orang ditahan dan pihak polis terpaksa menggunakan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) bagi mengawal keadaan di kompleks berkenaan.
  
"Kalau kita perlu gunakan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) kita gunakanlah kalau bersebab untuk kita mengatur kedudukan dan terpulang pada tindakan Ketua Polis Selangor, memang saya benarkan bagi memastikan keadaan terkawal," kata Khalid.
  
Demonstrasi itu dipercayai didalangi pihak-pihak tertentu bagi membantah pelaksanaan CBP yang bermula 1 April ini.-Bernama


 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.