BATU CAVES: Kerajaan negeri Selangor bersetuju untuk memuktamadkan
keputusan perjanjian air di antara negeri itu dan kerajaan pusat.
Keputusan itu dibuat ekoran mengambil kira kesediaan Kementerian
Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTha) untuk kembali semula kepada
terma perjanjian utama air yang ditandatangani pada 2014.
Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan negeri
telah menerima surat jemputan daripada kerajaan pusat untuk
membincangkan semula isu air tersebut.
"Kerajaan pusat berterima kasih kepada kerajaan negeri Selangor kerana
memberi kerjasama dan beliau (Menteri KeTTha) juga menyatakan kesediaan
kerajaan persekutuan untuk kembali kepada terma perjanjian utama air
yang ditandatangani sebelum ini pada 2014.
"Oleh kerana mereka telah menulis surat untuk kembali kepada terma
asal, maka kerajaan negeri bersedia persetujuan ini dan kita ingin
memberi jaminan untuk memuktamadkan perjanjian utama ini," katanya
kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata mesyuarat tersebut akan diadakan pada Isnin ini.
Azmin pada 12 Mac lalu meminta bantuan Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak bagi menyelesaikan semula kemelut penstrukturan air
melibatkan kerajaan negeri dan pusat.
Sebelum Azmin membuat pusingan 'u turn' itu, Azmin terlebih dahulu
memaklumkan bahawa kerajaan Selangor memutuskan untuk membatalkan
perjanjian penstrukturan air itu atas alasan kerajaan Persekutuan
melanggar terma Perjanjian Utama yang ditandatangani pada 12 Sept tahun
lepas.
Keputusan itu dikhuatiri bakal menjejaskan pembinaan Loji Rawatan Air
Langat 2 (Langat 2), yang fasa pertamanya dijadual siap pada 2017, untuk
menyediakan air bersih kepada pengguna di kawasan terlibat.
Bagaimanapun, Menteri KeTTha, Datuk Seri Maximus Ongkili ketika
menjawab soalan Ahli Parlimen Gombak itu di sidang Dewan Rakyat pada
Selasa lepas dilaporkan berkata pelaksanaan penstrukturan air di
Selangor tertangguh disebabkan kerajaan Selangor enggan menyelesaikan
tiga daripada lapan syarat Perjanjian Utama dengan kerajaan pusat
termasuk isu tanah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.