Halaman

Isnin, 23 Mac 2015

Program palsu antihudud DAP tersebar luas

MALAYSIAKINI


 


Pemuda DAP (DAPSY) menafikan menganjurkan sebuah program berkaitan hudud yang didakwa akan diadakan di Shah Alam minggu depan.

Ahli Majlis Eksekutif DAPSY Kebangsaan Dyana Sofya Mohd Daud berkata, keempat-empat individu yang dikaitkan dengan program itu, termasuk beliau tidak pernah menerima jemputan program seperti beredar di Internet.

“DAPSY mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan tidak bertanggungjawab ini yang jelas berniat jahat dan ingin menimbulkan huru-hara dan kemarahan orang ramai,” kata Dyana.

Selain Dyana, dua lagi wanita muda Melayu DAP – Young Syefura Othma dan Melati Rahim – turut dikaitkan dengan program itu, selain wartawan kontroversi BFM Aisyah Tajuddin.

Maklumat di poster palsu itu antaranya menuduh tajuk akan dikupas termasuk “sekularisme asas Pakatan”, “hudud – kekarutan hukum manusia”, “hukum barbarik untuk barbarian” dan  “hudud jenayah kemanusiaan”.

Ia juga mendakwa acara dialog akan dihadiri oleh Pengetua Sekolah Demokrasi DAP Wan Hamidi Wan Hamid, Presiden Persatuan Ummah Sejahtera (PasMa) Datuk Phahlolrazi Mohd Zawawi, paderi Lawrence Andrew dan ahli Majlis Konsultatif Perpaduan Negara (MKPN) Datuk Saifuddin Abdullah.

Ia turut mengaitkan kumpulan Kita Lawan, Angkatan Muda PKR (AMK), Parti sosialis Malaysia (PSM) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Selain Dyana, Saifuddin juga semalam menulis di Facebook bagui menjarakkan dirinya dengan perkara itu.

“Saya tidak pernah menerima jemputan ini dan berharap penganjur menarik balik nama saya yang tertera,” tulis Saifuddin di Facebook semalam.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan baru-baru ini meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (1993) minggu lalu.

Dyana juga menyeru pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pihak yang menyebarkan poster itu dan berharap orang ramai tidak terpedaya. 


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.