Kerajaan BN tampak lebih berminat untuk
memanjangkan hayat politik mereka melalui pendekatan populis yang
menzalimi keperluan sebenar rakyat
PETALING JAYA: Pemuda PAS mencabar Kementerian Kesihatan supaya mengambil pendekatan berjiwa besar bagi memantapkan sistem kesihatan negara dan bersikap professional dalam mendepani kepelbagaian pendapat.
Pengarah Jabatan Profesional Muda Dewan Pemuda PAS Malaysia, Dr Muhammad Omar juga menyeru kerajaan terutamanya Kementerian Kesihatan supaya lebih bertanggungjawab dan adil dalam merencana hala tuju sistem kesihatan negara.
Tegasnya, setiap idea yang dimajukan perlu diperhalusi bersama semua pihak supaya ia tidak hanya menjadi polemik kedai kopi.
Menurut beliau, kegagalan Kementerian Kesihatan membuat keputusan mengenai cadangan pengasingan dispensari membayangkan Barisan Nasional tidak mempunyai kekuatan apatah lagi wawasan yang jelas dalam mentadbir negara.
Merujuk jawapan Menteri Kesihatan, Datuk Sri S Subramaniam pada sidang Parlimen, Muhammad berpendapat, kerajaan seolah-olah kelu akan hala tuju dan masa depan sistem kesihatan di Malaysia.
“Barangkali hanyut dibuai mimpi indah dinobatkan sebagai sistem kesihatan ketiga terbaik di dunia oleh sebuah majalah gaya hidup, Menteri Kesihatan menyatakan bahawa kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan mengenai cadangan Biro Kawalan Farmasi Kebangsaan untuk meminda Akta Farmasi 1957.
“Beliau juga menyatakan bahawa kerajaan tidak akan mengambil sebarang keputusan yang akan membebankan rakyat,” katanya di Harakahdaily.
Beliau menambah, apalah gunanya kenyataan bersifat reaktif sekadar untuk menyedapkan hati rakyat, sedangkan jurang perbezaan di kalangan pengamal perubatan dan ahli farmasi semakin mencapah.
Lebih malang, katanya, matlamat asal untuk memantapkan sistem kesihatan negara sekali lagi terumbang ambing selepas konsep 1Care juga terkubur begitu sahaja.
Muhammad turut menegaskan bahawa idea pengasingan dispensari adalah asing pada gaya hidup hari ini serta belum dijelaskan atau dibuktikan mampu untuk menangani masalah utama sistem kesihatan negara.
“Jangan jadi seperti tikus membaiki labu, nyawa rakyat dan masa depan negara menjadi taruhan,” tambahnya.
Katanya, usaha memantapkan perkhidmatan farmasi adalah langkah yang harus dipuji kerana umum sedia maklum peri pentingnya penguatkuasaan terhadap fungsi farmasi.
Namun, tambah beliau, model penjagaan dan pembiayaan sistem kesihatan sekarang tidak mampu bertahan dalam jangka masa panjang lebih-lebih lagi dalam iklim ekonomi yang meruncing hari ini.
Justeru itu, Dewan Pemuda PAS berpendapat perlu ada transformasi kepada sistem kesihatan negara dan berpegang kepada keyakinan bahawa ia perlu dijalankan dengan adil, telus dan saksama.
“Rakyat perlu dikeluarkan dari khayalan rekaan Barisan Nasional bahawa mereka boleh bergantung sepenuhnya kepada kerajaan untuk menjaga tubuh badan mereka sepanjang hayat. Sedangkan, kerajaan BN tampak lebih berminat untuk memanjangkan hayat politik mereka melalui pendekatan populis yang menzalimi keperluan sebenar rakyat,” tambahnya.
Beliau menyatakan kekesalannya, apabila pertemuan di antara persatuan-persatuan pengamal perubatan dan Bahagian Perkhidmatan Farmasi berakhir sebelum sempat ia bermula.
Kementerian Kesihatan seharusnya mengambil langkah proaktif untuk berterus terang dengan rakyat betapa perlunya pekhidmatan kesihatan di Malaysia menjalani perubahan bagi meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan pada kos yang termampu oleh semua.
“Keterbukaan dan ketelusan; walaupun mungkin janggal pada kamus BN, perlu dititikberatkan kerana kesihatan adalah milik semua.
“Realitinya hari ini adalah sistem kesihatan negara bertahan dalam keadaan yang rumit dan cacamarba. Walaupun perkembangan teknologi dan kemahiran professional membawa impak kepada kualiti kehidupan pesakit namun ia gagal diurustadbir dengan efisyen,” tegas beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.