Oleh MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR
IPOH: Seluruh masyarakat perlu menghormati kepercayaan agama masing-masing, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato’ Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin.Menurutnya, setiap penganut agama mempunyai kepercayaan mereka tersendiri, begitu juga umat Islam yang berpegang kepada seluruh ajarannya.
Katanya, penganut agama lain tidak boleh menafikan tanggungjawab seluruh umat Islam melaksanakan segala perintah Allah termasuklah dalam melaksanakan hukuman jenayah syariah termasuklah hukum hudud.
Jelas Mohammad Nizar, begitu juga umat Islam yang tidak boleh menghalang penganut agama lain untuk menjalankan kepercayaan mereka.
“Menghalang orang Islam melaksanakan hukum hudud sama seperti mengarahkan Hindu makan da ging lembu.
“Seperti juga menyuruh orang Kristian tidak menyembah Jesus Christ dan menafikan kesucian Holy Trinity,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Persidangan Meja Bulat bersama media bukan Islam berhubung isu Enakmen Jenayah Syariah (2) 1993 Kelantan, dekat Ipoh 8 Mac lalu.
Mantan Menteri Besar Perak itu menyatakan, seluruh masyarakat perlu menghormati bahawa undangundang tuhan lebih baik berbanding undang-undang yang dicipta oleh manusia.
Katanya masyarakat dengan begitu mudah menerima hukuman dan undangundang yang diwujudkan oleh manusia terutama British namun sukar untuk menerima undang-undang yang dicipta oleh tuhan.
“Kenapa kita boleh menerima undang-undang British tetapi sukar untuk menerima undang-undang tuhan?” soalnya.
Jelas Adun Changkat Jering itu, seluruh umat Islam tanpa mengira parti tidak boleh menolak atau menafikan bahawa hudud itu adalah salah satu daripada ajaran Islam.
Katanya lagi, seluruh masyarakat khususnya orang Cina yang menguasi ekonomi di negara ini akan mendapat lebih manfaat jika hukuman jenayah syariah ini dilaksanakan kerana ia akan membantu membanteras gejala jenayah di negara ini.
Penjenayah katanya akan menginsafi tindakannya kerana sebenarnya hukuman Islam bertujuan untuk mendidik, bukan untuk menghukum semata-mata.
Menjawab persoalan wartawan yang mengatakan tindakan memotong tangan kepada pesalah itu dianggap zalim, beliau berkata, hukuman tersebut disabitkan oleh kerana individu tersebut tidak menunaikan amanah Allah.
“Mereka menggunakan kelebihan yang dikurniakan oleh Allah untuk membuat perkara yang tidak baik seperti mencuri dan sebagainya, ia adalah satu tindakan yang tidak beramanah.
“Oleh kerana mereka tidak amanah, maka mereka dijatuhkan hukuman disebabkan ketidakamanahan mereka terhadap nikmat yang dikurniakan oleh Allah,” jelasnya lagi.
Beliau menyatakan, masyarakat bukan Islam terlebih dahulu perlu menilai kejayaan serta keberkesanan undang-undang ini apabila dilaksanakan di Kelantan kelak sebelum membuat pelbagai andaian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.