Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini bersumpah tidak pernah menerima walau satu sen pun duit daripada raja judi, Paul Phua Wei Seng.
Ahli Parlimen Bagan Datoh itu berkata, beliau juga tidak pernah bersekongkol dengan Phua.
"Sebagai seorang Islam, wallahi wabillahi wattallahi saya tidak pernah mendapat kepentingan satu sen pun daripada penjudi berkenaan, malah saya tidak pernah bersengkogkol dengan orang itu," katanya, ketika penggulungan perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mua'dzam Shah di Dewan Rakyat hari ini.
"Saya juga menegaskan pada bila-bila masa pun saya tidak pernah mempunyai hubungan dengan Paul, malah tidak pernah mengenali beliau dan tidak dapat satu sen pun." Putrajaya sebelum ini dilaporkan berpuas hati dengan jawapan yang diberikan Zahid berhubung isu surat yang dikeluarkannya kepada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) berhubung status Phua.
Dalam jawapan bertulis di Parlimen, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan
Kassim berkata, Putrajaya tidak akan sesekali membela dan melindungi penjenayah sama ada mereka merupakan warganegara Malaysia atau asing.
"Pada dasarnya kerajaan berpuas hati dan menerima penjelasan yang diberikan menteri dalam negeri berkenaan hal tersebut.
"Bagaimanapun, kerajaan tidak pernah sesekali membela atau melindungi penjenayah tidak kira sama ada mereka penduduk Malaysia mahu pun rakyat asing," kata Shahidan dalam jawapan bertulis itu.
Shahidan berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Gelang Patah Lim Kit Siang, yang meminta penjelasan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengapa masih tiada tindakan yang diambil terhadap Zahid yang mengutus surat kepada FBI memberikan jaminan dan sokongan rasmi kerajaan terhadap watak dan integriti seorang yang digelar raja perjudian, Paul Phua tanpa persetujuan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Kementerian Luar, serta ahli jemaah menteri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.