KUALA LUMPUR: Pemimpin kedua-dua parti Pakatan Rakyat (PR) yang
bertelagah bersabit isu hudud, iaitu DAP dan PAS, perlu 'berpantang'
daripada memberikan kenyataan kerana dikhuatiri boleh mengusutkan lagi
hubungan yang telah bermasalah.
Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS, Dr Siti Mariah Mahmud berkata,
pendekatan yang paling sesuai jika mahu hubungan kedua-dua parti kembali
jernih adalah memperlahankan rentak 'serangan mulut' sebelum kembali ke
meja perbincangan secara empat mata.
"Saya berpandangan positif bahawa lebih baik bercakap sedikit daripada menimbulkan apa-apa lagi kegelisahan antara DAP dan PAS.
"Banyak tahap komunikasi ini.. kalau kita boleh berpantang sedikit dan
sejuk sedikit, kemudian duduk semula semeja untuk berbincang... mata ke
mata,"ujarnya kepada Antarapos.
Hubungan PAS dan DAP pada masa kini dingin berikutan tidak senada
bersabit isu hudud, yang mana DAP menuduh PAS membelakangkan PR kerana
tetap bertegas mahu melaksanakan hukum kanun jenayah syariah itu di
Kelantan.
DAP mendakwa hudud bukan agenda bersama PR, namun PAS menegaskan hudud
tetap akan diperjuangkan mengambilkira konsep 'bersetuju untuk tidak
bersetuju'.
Malah, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudahpun menghantar
notis usul persendirian bersabit pembentangan rang undang-undang itu
kepada Parlimen bagi membolehkan hudud dilaksanakan di Kelantan.
Tindakan tersebut menimbulkan kemarahan kepada DAP sekaligus membuat
keputusan untuk memutuskan hubungan dengan pemimpin ulama itu, namun
masih komited dengan PAS dan ingin kekal bersama PR.
Secara tidak langsung, ia memperlihatkan strategi DAP yang mahu menyingkirkan Hadi secara halus.
"Sebenarnya kami tak ambil pusing orang di luar parti bercakap.
Presiden adalah lambang parti kita, selagi beliau dikehendaki dan
disokong ahli PAS, maka itulah Presiden kita.
"Saya tak mahu buat spekulasi apa tindakan dan tujuan mereka (DAP).
CUma kami di peringkat ahli Parlimen dan wakil rakyat, kami masih
bekerjasama seperti biasa dan saya rasa bagi masa sedikit perkara ini
sejuk dan diapi-apikan. Kerana mungkin ada masalah komunikasi. Pada saya
ia lebih kepada (masalah) komunikasi,"ujar Ahli Parlimen Kota Raja itu
lagi.
Mariah juga berkata, Hadi tetap akan menerajui PAS selagi mana
diperlukan oleh parti walau dikecam hebat ekoran bertegas melaksanakan
hudud.
"Kita tetap satu.. kita satu entiti yang bergerak bersama. Apa pun yang kita hadapi, kita hadapi bersama," ujar beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan