PKR mempertikaikan pengumuman speaker Dewan Rakyat bahawa kerusi Permatang Pauh kini kosong kerana Yang di-Pertuan Agong sendiri tidak melupuskan petisyen pengampunan oleh keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR, Latheefa Koya, dalam satu kenyataan hari ini, berkata pengumuman Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia adalah terlalu awal dan melanggar Perlembagaan Persekutuan.
"Kerusi Permatang Pauh tidak kosong. Yang di-Pertuan Agong ( bawah ) mempunyai budi bicara mutlak untuk memutuskan suatu petisyen bagi pengampunan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan, sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perkara 42 Perlembagaan," kata Latheefa, yang juga peguam Anwar.
Berikutan itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata ia akan bermesyuarat minggu depan untuk membincangkan mengenai pilihan raya kecil itu.
Dilaporkan semalam bahawa keluarga Anwar telah mempertikaikan kekosongan kerusi itu ekoran satu afidavit daripada Ketua Pengarah bahagian hal ehwal undang-undang di Jabatan Perdana Menteri, Nursiah Arshad.
Afidavit itu berkata keputusan Lembaga Pengampunan adalah berdasarkan kepada permohonan yang dibuat di bawah Peraturan 113 Peraturan Penjara, Akta Penjara, berdasarkan rayuan oleh tertuduh.
Bagaimanapun, permohonan itu tidak dibuat oleh Anwar tetapi oleh ahli keluarganya - isteri beliau yang juga Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, dan anak-anak perempuan mereka Nurul Izzah dan Nurul Nuha.
Latheefa mengulangi bahawa tidak ada keputusan mengenai penolakan petisyen itu telah disampaikan kepada Anwar atau keluarganya, sedangkan permohonan pengampunan keluarga telah dialamatkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
"Pengumuman speaker itu sendiri hanya berdasarkan komunikasi oleh lembaga tersebut dan bukan oleh Yang di-Petuan Agong atau istana.
"Pendek kata, tidak ada keputusan yang sah telah dibuat dan disampaikan seperti yang ditetapkan dalam Perkara 42, yang dibaca bersama Artikel 48, perlembagaan," kata peguam itu lagi.
"Di bawah peraturan Penjara 113, ia membolehkan seseorang banduan untuk membuat petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong. Tidak ada permohonan seumpama itu yang dibuat oleh Anwar.
"Di samping itu, surat tersebut menyatakan bahawa lembaga tersebut membuat keputusan itu pada 16 Mac.
"Bagaimanapun, keputusan yang dikatakan itu hanya diketahui 10 hari kemudian melalui satu afidavit dalam respons kepada permohonan Anwar untuk menghadiri sidang Parlimen," katanya.
Oleh itu, Latheefa berkata, speaker dan SPR telah membuat kekhilafan yang serius dalam memutuskan bahawa petisyen pengampunan telah dilupuskan dan kerusi Permatang Pauh kosong.
Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun selepas Mahkamah Persekutuan, pada 10 Februari lalu, mengekalkan sabitan tuduhan liwat terhadapnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan