Nur Jazlan Mohamed
 
 
 
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak perlu letak jawatan ekoran kritikan keras bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa Presiden Umno itu sudah hilang sokongan.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata kritikan Tun Mahathir itu bukan perkara baru dan sudah dibangkit berulang kali.

Tegas Jazlan, kedudukan Najib tidak terjejas dan sokongan parti dan rakyat terhadapnya tidak berkurangan meskipun mendapat pelbagai kritikkan.

“Itu pendapat beliau (Tun Mahathir), tapi itu bukan isu, selagi Najib ada sokongan parti dan rakyat kenapa perlu letak jawatan, dan sekarang ini ya (masih ada sokongan).

“Kedua-dua mereka lelaki yang hebat, hanya berbeza pendapat berkenaan hala tuju negara.

“Sama ada mereka boleh bertemu persamaan itu terpulang kepada mereka,” kata Ahli Parlimen Pulai itu selepas mempengerusikan Mesyuarat PAC di Parlimen, semalam.

Sementara itu, Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia Tan Sri Dr Rais Yatim berkata,kenyataan Dr Mahathir itu dilihat boleh diterima pakai seandainya ada bukti atau dikeluarkan pada masa PRU benar-benar hampir tiba.

“Saya boleh menerima kata-kata Dr Mahathir jika bukti-bukti ini masih wujud setahun sebelum PRU. Jika ia berlaku, mungkin sudah terlambat untuk mengubah semuanya kepada keadaan sepatutnya,” katanya seperti dilaporkan Awani.