Datuk Seri Noh Omar menafikan sekeras-kerasnya Umno terlibat dengan protes di sebuah gereja baharu di Taman Medan pada Ahad lepas yang terpaksa menurunkan tanda salibnya ekoran bantahan penunjuk perasaan melibatkan pemimpin parti Melayu itu.
Pengerusi perhubungan Umno Selangor itu berkata, penunjuk perasaan melakukan bantahan tersebut sebagai badan bukan kerajaan (NGO).
"Tak ada kena-mengena dengan Umno. Apa kena-mengena dengan Umno? Mengapa mesti kaitkan dengan Umno?
"Ada juga ahli Umno yang jadi ahli persatuan penduduk, you kena tengok dia take reaction on what platform," katanya sewaktu melakukan lawatan di Hospital Shah Alam hari ini.
Noh berkata, perkara tersebut tidak wajar dikaitkan dengan Umno kerana penunjuk perasaan tidak menggunakan sepanduk atau menerima arahan daripada parti untuk melakukan bantahan tersebut.
Beliau juga menafikan ahli Umno merupakan dalam kalangan penunjuk perasaan tersebut dan menyalahkan pemberita kerana melaporkan mereka sebagai ahli Umno.
"Kalau dia ahli Umno, ahli jawatankuasa penduduk di situ, tak akan saya boleh campurtangan urusan NGO? Kalau Perkasa buat, adakah nak salahkan ahli Umno?
"Kalau ahli NGO, NGO lah. Kita tak boleh halang. Saya baca suratkhabar Sinar, dia kata NGO, 'you all' yang kata dia ahli Umno" kata Noh.
Ahad lalu kira-kira 50 orang berkumpul di luar gereja baharu yang terletak di sebuah rumah kedai, menuntut salib yang dipasang di rumah ibadat itu dibuang kerana ia dikatakan mengancam Islam.
Salah seorang daripaa pemimpin Umno yang turut hadir ialah Datuk Abdullah Abu Bakar, abang kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Penunjuk perasaan dilaporkan berkata kewujudan salib di kawasan majoriti Melayu-Islam itu merupakan satu cabaran kepada agama Islam dan boleh menjejaskan akidah anak muda.
Salib berkenaan dibawa turun oleh pemimpin gereja beberapa jam selepas protes itu.
Semalam Abdullah berkata, penduduk menemuinya bagi membincangkan perkara itu pada Sabtu, mengatakan mereka tidak selesa dan rasa sensitif dengan isu itu.
Ketua polis negara berkata, tiada unsur hasutan dalam tunjuk perasaan, kerana demonstrasi itu bukan menentang agama Kristian, tetapi disebabkan lokasi gereja itu terletak di kawasan kejiranan yang sebahagian besarnya Melayu-Islam.
Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kemudiannya mengesahkan protes itu berunsur hasutan dan tindakan akan diambil terhadap penduduk terlibat
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.