Abu Bakar Yahya Abu Bakar Yahya
 
 
 
SHAH ALAM - Selepas lebih 20 tahun menjadi Ketua Umno Cawangan Sungai Sirih Tambahan, dalam Parlimen Kapar Yang Dipertua Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahya akhirnya melepaskan jawatan yang disandangnya bagi memudahkan beliau mempertahankan hak Islam dan Melayu.

Katanya, sekiranya masih mempunyai jawatan dalam parti, beliau juga agak sukar untuk menyuarakan pendapat dan pandangannya dalam sesuatu isu terutamanya di Selangor.

‎“Umno terikat, masih perlu menjaga hati komponen lain terutamanya MCA dan MIC, sedangkan kita hendak mempertahankan hak kita sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan.

‎“Jadi menggunakan platform Perkasa adalah lebih mudah dan cepat didengar sebagai kumpulan pendesak kepada kerajaan atau pembangkang,” katanya yang diberikan kepercayaan menjadi yang dipertua kumpulan pendesak itu sejak tiga tahun lalu.

‎Beliau telah menghantar surat peletakan jawatan kepada Umno Bahagian Kapar Mac lalu.

‎Katanya, beliau sedikit pun tidak rasa menyesal dengan keputusan yang dilakukan ini walaupun pernah menjadi AJK Pemuda dan Umno Bahagian Kapar selama beberapa penggal, serta menjadi pegerusi daerah menggundi yang cemerlang daerah menggundi Sg Sirih beberapa kali pilihanraya.

‎“Saya rasa lebih bebas mengeluarkan pendapat, tidak ada sekatan dan parti yang perlu dijaga...asalkan saya tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan.

‎“Sungguhpun ketika dalam Umno saya ada ruang menyatakan pandangan dan saranan di peringkat cawangan atau bahagian, tetapi sejauh mana suara kami di bawah ini didengar," katanya.

‎Dalam pada itu, ditanya adakah tindakan dilakukan kerana tidak mendapat jawatan atau kecewa dengan Umno yang terlalu bertoleransi dengan parti lain beliau berkata, beliau hanya melepaskan jawatan sebagai ketua cawangan tetapi masih menjadi ahli Umno.

‎“Tidak timbul isu kecewa kerana jawatan atau pangkat, umur saya pun sudah menghampiri 60 tahun, biar orang muda pula pegang jawatan.

"Isu toleransi...biarlah orang parti yang jawab‎,” tegasnya lagi.