CYBERJAYA: Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir menyifatkan
pelaksanaan hukuman hudud yang bakal dilaksanakan di Kelantan adalah
tidak adil kerana hanya melibatkan pesalah beragama Islam sahaja.
Beliau menjelaskan bahawa hukum hudud mengalakkan keadilan dan
undang-undang hudud yang dicadangkan PAS mengecualikan orang bukan Islam
daripada hukuman dan oleh itu ia tidak adil.
"Di dalam al-Quran terdapat 43 ayat yang mengatakan bahawa apabila kamu
menjatuhkan hukuman, anda mesti menghakiminya dengan adil. Tetapi
dibawah hudud PAS, ia hanya diguna pakai terhadap orang Islam.
"Sekiranya orang Islam dan bukan Islam ditangkap kerana merompak, yang
Islam akan dipotong tangannya manakala yang bukan Islam hanya dihukum
penjara.
"Beritahu saya adakah ia adil? Sekiranya tidak adil, ia bukan Islamik,"
kata Dr Mahathir ketika menjawab soalan yang diajukan peserta
persidangan kepimpinan 'What Youth Should Know' di sini hari ini.
Memetik laporan mStar Online, Dr Mahathir juga berkata niat PAS untuk
melaksanakan hudud bukan atas sebab Islam tetapi demi politik.
"Niat PAS bukan untuk Islam. Ia hanya untuk memenangi pilihan raya dan
membuktikan mereka lebih Islamik berbanding Umno. Sekiranya niat anda
untuk politik, maka hudud yang anda cuba laksanakan tidak lagi bersifat
Islamik.
"Umno Kelantan menyokong hudud tetapi mereka tidak tahu apa sebenarnya yang mereka sokong," katanya.
Dr Mahathir berkata sebagai sebuah negara berbilang kaum, kerajaan tidak mampu melaksanakan hudud di negara ini.
"Kami tidak boleh melaksanakan hudud di Malaysia kerana ia sebuah
negara berbilang kaum. Tetapi terdapat undang-undang sedia ada yang
mampu menegakkan keadilan.
"Saya percaya apabila anda menegakkan keadilan, maka anda sebenarnya menegakkan prinsip Islam," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan