Ahmad Zahid Hamidi
 
 
 
KUALA LUMPUR - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hanya menjawab ringkas dan enggan mengulas lanjut ketika ditanya soal kritikan keras bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Ketika zaman beliau, beliau menuntut kesetiaan tidak berbelah bahagi daripada menteri, Ahli Majlis Tertinggi Umno dan ahli Umno.

"Ini komen saya 'and I reserve the other comment' (saya simpan komen yang lain)," katanya pada sidang media selepas melancarkan kempen Belia Tolak Ekstremisme di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Najib perlu jawab Tun M ]

Sebelum itu, dalam ucapan perasmiannya, Ahmad Zahid mencadangkan beberapa inisiatif dan strategi yang perlu mendapat sokongan semua pihak dalam rangka memerangi gejala IS.

"Pertama, saya cadangkan sekretariat tubuhkan Makmal Anti-Terorisme yang kumpulkan cerdik pandai untuk diskusi kaedah terbaik tangani gejala IS di Malaysia.

"Kedua, pihak SKMM sekat secara total video rakaman kekejaman IS yang tersebar di media sosial kerana ia mengancam psikolosi masyarakat.

"Ketiga, saya usulkan sekretariat Anti-Keganasan ini tubuhkan laman web yang sediakan segala informasi lengkap berkaitan risiko dan gejala negatif aktiviti keganasan," katanya.

Tambahnya, masyarakat perlu diberi penjelasan dan pendedahan secara menyeluruh agar mereka dapat membantu pihak berkuasa dalam memerangi ancaman IS di negara ini.