Halaman

Isnin, 25 Mei 2015

1MDB - Menanti Wibawa Ketua Audit Negara Dan Berani Atau Tidaknya PAC Menyiasat Najib

shahbudindotcom


Di ketika Najib Razak meminta semua pengkritik 1MDB bersabar menunggu hasil siasatan Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) terhadap syarikat pelaburan bermasalah itu, jawapannya selaku Menteri Kewangan di Parlimen mengenai kedudukan sebenr simpanan di Singapura tentu saja membuatkan ramai hilang sabar dengannya.

Dalam jawapan bertulis di Parlimen semalam, pengakuannya bahawa tiada wang tunai disimpan di Singapura ketika ini jelas bercanggah dengan kenyataannya pada Mac lalu bahawa tebus tunai dari Pulau Cayman sudah pun dilakukan.

Ketika itu, Najib juga menjelaskan wang tunai itu disimpan di Singapura dan tidak di dalam negara adalah untuk memudahkan proses pengeluarannya memandangkan peraturan Bank Negara yang meletakka syarat ketat bagi pengeluaran melebihi RM50 juta.

Namun, jawapannya semalam mengatakan yang ada di Singapura hanyalah aset dalam bentuk kertas saja, bukannya wang tunai.

Walaupun menyebut bahawa penjelasan terbaru ini merupakan pindaan kepada jawapan di Parlimen pada 10 Mac lalu, Najib seolah-olah mempermain-mainkan institusi penggubal undang-undang tersebut dengan sesuka hati memberikan jawapan yang berbeza seolah-olah Kementerian Kewangan yang diterajuinya hanyalah umpama kedai runcit yang tiada sistem dan maklumat aliran tunai yang lengkap.

Persoalan sama ada wang tunai itu benar-benar wujud atau sebaliknya kini lebih menghantui ramai orang di sebalik jawapan terbaru Najib ini.

Sehari sebelum itu, Najib juga mengeluarkan kenyataan bahawa Kementerian Kewangan sedang berusaha membantu dan menyelamat 1MDB yang sarat dengan hutang tersebut.

Selepas mengakui 1MDB bermasalah dan usaha-usaha menyelamat sedang dilakukan sedangkan sebelum ini bermati-matian menafikannya, jawapan bertulis di Parlimen semalam nyata lebih mengeliru dan membimbangkan.

Apa pun tujuannya, jawapan Najib ini bukan saja mengesahkan dakwaan pelbagai pihak, terutamanya Tun Mahathir Mohamad bahawa syarikat itu bukan saja  sedang kronik masalahnya tetapi juga kemungkinan banyak "hanky panky" telah beraja di dalamnya selama ini.

Ia dengan sendiri mengesahkan kaitan dengan pertanyaan berulang kali yang disuarakan oleh bekas Perdana Menteri sebelum ini iaitu mengenai peranan Jho Low, ke mana lesapnya RM27 daripada hutangnya yang berjumlah RM42 bilion dan bagaimana Riza Aziz memiliki begitu banyak wang di ketika wang 1MDB didapati hilang tanpa dapat dikesan.

Dengan jawapan terbaru Najib yang jelas mengeliru dan membuatkan rakyat semakin hilang sabar dan naik angin ini, beban lebih berat sedang menunggu Ketua Audit Negara dan PAC yang sedang menjalankan tugasnya sekarang.

Mengenai aspek perpindahan misteri dari Pulau Cayman ke Singapura itu, apakah dalam pengaditannya nanti, akan dijelaskan bagaimana tunai telah bertukar menjadi kertas atau ia akan dikesampingkan begitu saja?

Walapun Tun Mahathir meragui laporan audit akan menemui nama Jho Low dan Riza Aziz dalam pemeriksaan akaun 1MDB, persoalan juga adakah Ketua Audit Negara mampu menemui "lubang tikus" ke mana menghilangnya RM27 bilion itu?

Bak kata Tun Daim Zainudin sebelum ini bahawa konflik kepercayaan terhadap Ketua Audit Negara dalam mengaudit akaun 1MDB memang tidak dapat dielakkan kerana ia sendiri terletak di bawah Kementerian Kewangan, namun inilah cabaran sebenarnya kepada jabatan itu dalam menjalankan tugasnya.

Adakah wang rakyat yang ingin dijaga atau pemimpin yang kerap menjual nama rakyat yang ingin dipertahankan?

Kepada PAC pula, wibawa dan cabaran besarnya ialah tentang siapa yang akan dipanggil untuk disiasatnya mengenai 1MDB ini?

Memanggil sekadar ikan-ikan kecil seperti Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi atau EPU  dan lain-lain yang setaraf dengannya untuk siasatan tidak mungkin banyak membantu dan menemui jawapan yang sebenarnya.

Individu yang harus dipanggil untuk disiasat ialah Jho Low dan Najib sendiri kerana inilah kunci sebenar kepada permasalahan dalam 1MDB itu.

Oleh kerana Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin sendiri sudah mengeluarkan gesaan agar Jho Low tidak dipinggirkan dalam siasatan PAC kerana katanya, cap jari playboy itu ada di mana dalam isu 1MDB, Nur Jazlan selaku Pengerusi PAC haruslah lebih ke depan meyakinkan rakyat dengan keberaniannya untuk memanggil Najib juga untuk dilakukan siasatan.

Jika sebelum ini Nur Jazlan begitu kritikal terhadap Najib dan kerajaan yang tidak dipersetujuinya dalam beberapa kenyaaan medianya, inilah masanya beliau membuktikan "tiada dua wajah" dalam dirinya.

Tanpa memanggil Najib dan Jho Low, PAC bukan saja dilihat tidak berwibawa, bahkan akan dituduh hanya melakukan kerja-kerja memulih dan menyelamat juga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.