PERMATANG PAUH: Sekumpulan ahli PKR hari ini tampil membantah
pencalonan Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam
Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh.
Kumpulan itu dikenali sebagai Suara Akar Umbi Keadilan (SAUK) dengan seramai 20 ahli dan diketuai oleh Mazli Saring.
Dalam sidang medianya di Permatang Pauh hari ini, Mazli mahu pengundi
sedar janji Wan Azizah yang kononnya mahu menjaga anak dan cucu ketika
meletak jawatan sebagai ahli parlimen berkenaan pada 2008.
Bagaimanapun beliau mungkir janji apabila bertanding pula di PRK
Kajang, tahun lalu meskipun banyak lagi isu setempat di sana gagal
diselesaikan.
"Kami masih sayangkan parti. Kenapa begini jadinya?
"Presiden sepatutnya kempen dalam PKR untuk wujudkan perpaduan dalam parti.
"Bukan maksud kami untuk suruh tolak Wan Azizah tetapi kenapa selepas
kes Anwar, Wan Azizah datang semula untuk bertanding," ujarnya kepada
media.
Mazli merupakan individu yang sama mengetuai pertubuhan bukan kerajaan
yang dinamakan Pakatan Anak-anak Selangor Menyokong Menteri Besar
Selangor (PASMEB) ketika kemelut jawatan nombor satu itu tercetus pada
tahun lalu.
Beliau bagaimanapun menyangkal tindakan mereka pada kali ini ada kaitan dengan NGO tersebut.
Ahli-ahli SAUK turut memegang poster dengan lambang PKR dan wajah personaliti PKR.
Di antara mesej yang tertulis pada poster itu adalah "Anwar ke Mahkamah
Syariah Bukti PKR Sokong Hudud", "Tun M dan Azmin Perlu Digabungkan",
dan "TQ Rafizi dan Nurul Izzah kerana sokong hudud".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.