Halaman

Sabtu, 9 Mei 2015

Bongkar : Mengapa bertindak kepada pendedah maklumat?




Oleh V Shuman


Anda buat perkara yang tidak sepatutnya dilakukan, kemudian bila ada yang membongkarnya, anda buat laporan dan cuba menyumbatnya ke penjara.Nampaknya itulah modus operandi sesetengah syarikat berkaitan kerajaan kita kini. Dan entah dengan logik apa, pihak yang membangkitkan kelakuan mereka kepada orang ramai dikenakan tindakan.

Mangsa terbaru fenomena tidak masuk akal ini barangkali seorang penulis blog yang tidak dikenali, yang mendedahkan dokumen sulit menunjukkan Tabung Haji membuat pelaburan masalah dengan badan bermasalah, 1MDB.

Penulis blog itu baru-baru ini menyiarkan keratan dokumen, menunjukkan urusniaga “lumayan” dan “yang dipercepatkan” antara Tabung Haji dan 1MDB – melibatkan kira-kira RM770 juta.

Namun, Tabung Haji menafikan laporan yang ia telah membeli dua plot tanah daripada 1MDB, dan mengatakan mereka hanya membeli satu plot, dengan harga diskaun RM188.5 juta.
Johan AbdullahJohan Abdullah

Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji Johan Abdullah berkata pelaburan itu selaras dengan perancangan strategik Tabung Haji untuk fokus dalam pembangunan hartanah di pasaran domestik.

Beliau kemudian membuat laporan polis terhadap blog yang membocorkan dokumen sulit tersebut.

Ketua Polis Negara (KPN) Khalid Abu Bakar hari ini berkata, kes itu akan disiasat di bawa Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Ini mungkin kembali mengingatkan kita tentang kemelut National Feedlot Corporation (NFC). Rafizi Ramli didakwa kerana mendedahkan penglibatan keluarga Ketua Wanita Umno Shahrizat Abdul dalam pelaburan meragukan syarikat itu.

Ia termasuk pembelian kondominium mewah menggunakan dana daripada kerajaan.

Rafizi didakwa kerana menyalahi Akta Bank dan Institusi Kewangan (Bafia) kerana mendedahkan maklumat bank pengerusi NFC Mohamad Salleh Ismail yang juga suami kepada Shahrizat.

Agak jelas ia adalah kes tindakan kepada pendedah salah laku, bukannya pelaku. Yang menyedihkan, sejarah nampaknya mungkin berulang dalam isu Tabung Haji dan 1MDB ini.

Jika Tabung Haji memang berurusniaga dengan 1MDB, mengapa tidak maklumkan sahaja kepada orang ramai, sebelum ia didedahkan oleh pihak ketiga? Apa yang cuba disembunyikan?

Bukankah ia melibat wang hasil titik peluh ribuan orang Islam. Kalaulah penulis blog itu tidak mendedahkannya, adakah Tabung Haji merancang untuk mendiamkan hal ini selamanya?

Lagi pun, bukankah individu itu mendedahkan dokumen itu untuk kepentingan awam – tentang Tabung Haji yang melabur jutaan ringgit dalam entiti yang kini sedang diaudit?

Bukankah individu itu yang sepatutnya dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat? 
Akta ini sememangnya untuk melindungi kakitangan awam dan pihak lain yang membangkitkan apa-apa salah laku.

Menurut peguam perlembagaan Syahredzan Johan, masalah mungkin dengan bagaimana Akta itu sendiri digubal.

“Masalah mungkin ada dalam akta itu sendiri. Ia hanya memberi perlindungan kepada mereka yang membuat laporan rasmi dengan badan penguatkuasa, seperti polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Di saat ramai orang ada krisis kepercayaan dengan institusi kerajaan, ini bukanlah cara yang terbaik untuk menggalakkan pemberian maklumat,” katanya kepada Semut Harian.

Syahredzan menyebut pengumuman pantas polis yang mereka akan menyiasat laporan yang dibuat Tabung Haji, sedangkan ada banyak laporan terhadap 1MDB yang masih dibiarkan.

“Ini memberikan persepsi yang pihak berkuasa lebih cenderung memburu mereka yang mendedahkan salah laku, bukan pelaku sendiri,” katanya lagi.

Hanya ada dua cara sahaja yang boleh dilakukan. Pertama, meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat bagi membolehkan rakyat mendedahkan maklumat untuk kepentingan awam dengan cara mereka sendiri, tanpa takut dikenakan tindakan. Ataupun, menjadikan badan penguatkuasa lebih “dipercayai” di mata orang ramai.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.