shahbudindotcom
Sebagaimana
jangkaan ramai, PKR berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Permatang Pauh
walaupun UMNO dan BN berhempas pulas mahu membuktikan kemampuan merampas
kawasan itu. Dalam keputusan yang diumumkan sebentar tadi, PKR menang
dengan majoriti 8,841 undi menewaskan BN dan dua calon lain.
Dr
Wan Azizah Wan Ismail berjaya memperolehi undi sebanyak 30,316 manakala
calon BN, Suhaimi Sabudin mendapat 21,475 undi. Dua calon lain itu
Azman Shah Othman (PRM) dan Salleh Isahak (Bebas) masing-masing hanya
mendapat 101 dan 367 undi saja.
Walaupun
majoriti kemenangan PKR menurun berbanding pilihanraya lalu iaitu
sebanyak 11,721 undi ketika Anwar Ibrahim menjadi calon tetapi ianya
lebih disebabkan kurangnya peratusan yang turun mengundi. Kali ini
peratusannya hanya 73 peratus berbanding 88.3 peratus pada pilihanraya
2013 lalu.
Disebabkan
hari mengundi jatuh pada hari bekerja, ia mungkin antara faktor yang
menyebabkan pengundi luar tidak dapat menunaikan tanggungjawab mereka.
Bukan
saja undi PKR menurun daripada 37,090 kepada 30,316, perolehan BN juga
berkurangan daripada 25,369 kepada 21,475 pada kali ini berbanding
pilihanraya 2013 lalu.
Kejayaan
PKR mengekalkan kerusi Permatang Pauh ini sekali lagi memberi tamparan
kepada UMNO dan BN setelah keputusan mengecewakan di Rompin dua hari
lalu. Di ketika Permatang Pauh dilihat kekal sebagai kubu pembangkang,
Rompin pula memperlihatkan wujudnya angin perubahan yang ketara.
Ia
sekaligus memberi gambaran bahawa kehadiran PR melalui gabungan Pas,
PKR dan DAP masih diperlukan oleh rakyat negara ini, bukan saja untuk
memberi saingan kepada BN tetapi juga sebagai alternatif dambaan untuk
menerajui kerajaan akan datang.
Keputusan
dua pilihanraya kecil ini tidak disangkal lagi turut merupakan signal
paling jelas bahawa kepimpinan Perdana Menteri, Najib Razak semakin
ditolak dan kian jauh dari hati rakyat. Diselubungi dengan pelbagai
isu dan masalah, terutama 1MDB dan GST, ketiadaan sokongan daripada
bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad nyata membuatkan kedudukan
Najib dalam memimpin kerajaan semakin berada di hujung tanduk.
Penolakan
rakyat terhadap UMNO, BN dan kerajaan bukan lagi sekadar berlegar di
kalangan pengundi bandar, separa bandar, golongan muda dan mereka yang
celik internet, bahkan sudah menerobos ke kawasan Felda dan
kampung-kampung yang jauh di pedalaman.
Sebelum
ini, UMNO bukan saja ingin menambah majoriti kemenangan di Rompin,
malah penuh yakin dapat merampas kembali kerusi Permatang Pauh daripada
PKR. Kini, kedua-dua impian dan harapan itu berkecai bersama hadirnya
awan mendung yang makin menjadikan kedudukan Najib dan kerajaan kian
gelap jadinya.
Dengan
kemenangan Dr Wan Azizah ini, beliau hampir pasti akan dilantik sebagai
Ketua Pembangkang yang baru menggantikan Anwar Ibrahim pada sesi
Parlimen yang dijadualkan bermula 18 Mei depan.
Sekiranya
momentum penolakan rakyat berterusan sehingga pilihanraya akan datang
dan Najib pula terus enggan menyerah kalah kepada saranan berundur atau
meletakkan jawatan sebagaimana yang sudah banyak kali dilontarkan oleh
Tun Mahathir Mohamad, petunjuk daripada Rompin dan Permatang Pauh ini
sekaligus memberi harapan lebih cerah kepada PR dalam fasa-fasa
mendatang berbanding BN yang diterajui Najib.
Selepas
PR memenangi pilihanraya umum akan datang, tidak syak lagi Dr Wan
Azizah akan dipilih menjadi Perdana Menteri "interim" sementara menunggu
pembebasan Anwar Ibrahim daripada penjara yang bakal diusahakan melalui
pengampunan diraja. Jika ini berlaku, tidak berjaya menjadi Menteri
Besar Selangor sebelum ini, rupa-rupanya kerusi Perdana Menteri sedang
menanti Dr Wan Azizah.
Tidak
lama setelah dibebaskan, tentu saja Anwar akan diberikan peluang untuk
bertanding di mana-mana pilihanraya kecil bagi membolehkannya menjadi
Ahli Parlimen semula dan seterusnya akan dilantik sebagai Perdana
Menteri mengggantikan Dr Wan Azizah bagi menghargai jasa dan
pengorbanannya sehingga sanggup ke penjara sebelum itu.
Anwar
ketika itu akan dianggap sebagai hero dalam memastikan kemenangan PR
dan pemenjaraannya telah berjaya merangsang rakyat melakukan perubahan
melalui pilihanraya.
Bertahun-tahun
UMNO cuba menghalang pendakian Anwar ke kerusi Perdana Menteri, beliau
akhirnya mendapat apa yang diidamkannya semata-mata hanya kerana
kepimpinan Najib yang terlalu lemah dan banyak masalah telah membuka
ruang seluas-luasnya ke arah itu.
Dengan
kemungkinan ini, apakah Najib masih mahu bertahan dan Ketua-Ketua UMNO
Bahagian pula ingin terus mengekalkannya sebagai Perdana Menteri?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.