Majoriti undi boleh merosot jika PKR terus selesa Dyana Sofya Mohd Daud (dua kanan) menunjukkan poster kempen Jom Balik Undi di Yayasan Aman di Bukit Mertajam, Permatang Pauh, hari ini. - Foto Sinar Online oleh NIZAM ZAIN
 
 
 
PERMATANG PAUH - Bekas calon DAP PRK Parlimen Telok Intan, Dyana Sofya Mohd Daud mengingatkan pemimpin PKR agar tidak terlalu selesa dengan kemenangan majoriti 11,721 undi yang diperolehi penyandangnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada PRU13 lalu.

Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menegaskan, sejarah boleh berulang kembali dengan majoriti 590 undi jika PKR tidak menggandakan usaha berkempen khususnya di saat akhir.

"Kita tak boleh terlalu selesa walaupun pada 2013 kita menang di Permatang Pauh lebih 11,000 majoriti tetapi 2004 kita hanya menang lebih kurang 590 undi majoriti.

"Oleh itu, semua pengundi Permatang Pauh harus pulang dan buang undi, undi sama Kak Wan dan pengundi di sini membawa suara semua rakyat Malaysia iaitu untuk membantah GST, tolak kekejaman dan juga tolak pentadbiran BN," katanya kepada Sinar Online yang ditemui di Yayasan Aman, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kebimbangan yang disuarakan Pengarah Strategi PKR, Sim Tze Tzin yang mendakwa peratusan pengundi yang balik mengundi dijangka menyusut kepada 68 peratus dan ia petanda awal jumlah majoriti undi PKR turut terkesan.

Dyana Sofya terdahulu melancarkan kempen 'Jom Balik Undi' pada sidang media harian PKR dalam usaha memberi kesedaran kepada pengundi Permatang Pauh yang berada di perantauan agar pulang menunaikan tanggungjawab masing-masing pada 7 Mei ini.

Ditanya mengenai pengalaman Dyana Sofya yang berdepan dengan jumlah keluar mengundi kurang 70 peratus pada PRK Telok Intan lalu, beliau bagaimanapun berkata Pemuda DAP akan membantu melonjakkan kesedaran itu menerusi media sosial.

"Ianya sebagai kempen kesedaran, sebab kita tak boleh terlalu selesa, pengalaman saya di Telok Intan turut rasakan (merosot) di peringkat akar umbi, jadi kita harap dapat atasi masalah ini di Permatang Pauh.

"Bukan sahaja undi untuk Kak Wan tetapi bermacam-macam mesej yang kita harus sampaikan, oleh itu tanggungjawab lebih tinggi kita minta mereka balik dan membawa suara rakyat Malaysia," katanya lagi.