Putrajaya harus segera mendedahkan penggunaan wang RM3.81 bilion yang dilabur SRC International Sdn Bhd (SRC) dalam syarikat tenaga di Mongolia, bagi menjelaskan tanggapan yang kerajaan cuba menyembunyikan skandal melibatkan berbilion ringgit, kata Tony Pua.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata, kegagalan Putrajaya menunjukkan ketelusan dalam hal ini akan hanya terus menghakis keyakinan rakyat biasa terhadap institusi awam negara dan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Katanya, berdasarkan jawapan bertulis Kementerian Kewangan di Parlimen 20 Mei lalu, jumlah pelaburan SRC dalam Gobi Coal & Energy Ltd (GCE) itu ialah AS$6o juta (RM216 juta) yang mewakili 9% pegangan saham dalam GCE.
"Penjelasan itu membuktikan saham 9% itu di GCE hari ini hanya bernilai AS$8.6 juta (RM31 juta), atau jatuh 85.6% dalam nilai pelaburan. "Ini mewakili kerugian AS$51.4 juta (RM185 juta) kepada SRC," katanya yang juga setiausaha publisiti DAP dalam satu kenyataan, hari ini.
Pua membuat kiraan itu berdasarkan kenyataannya bulan lalu syarikat Origo Partners Limited yang tersenarai dalam London Stock Exchange, pada Jun 2014 meletakkan nilai 14% saham mereka di GCE hanya pada AS$13.4 juta.
"Jawapan kementerian itu menimbulkan satu lagi persoalan penting memandangkan nilai pelaburan GCE hari ini hanya RM31 juta, mewakili 0.8% daripada jumlah RM3.81 bilion 'portfolio pelaburan luar Malaysia' SRC.
"Jadi ke mana perginya baki daripada RM3.81 bilion SRC itu?" soalnya.
Beliau sebelum itu meminta menteri kewangan menyatakan jumlah pelaburan SRC dalam GCE, jumlah peratusan saham yang dipegang dalam syarikat GCE dan nilai semasa pegangan tersebut yang diambil kira dalam penyata kewangan SRC terkini.
Katanya, jawapan menteri itu membongkar tanggapan sebelum ini yang pelaburan besar dibuat SRC, malah RM216 juta pelaburan di GCE itu hanya mewakili pecahan kecil daripada jumlah RM4 bilion yang dipinjam daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).
Pua berkata, rakyat berhak tahu sama ada jumlah yang dilabelkan sebagai "aset tahap 3" itu hilang, sama seperti persoalan terhadap aset RM13.4 bilion bekas syarikat induk SRC, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang hilang.
Laporan Sarawak Report sebelum ini mendedahkan kenyataan Pengarah Origo Partners, Niklas Ponnert yang mendakwa syarikatnya memiliki saham terbesar berjumlah 14% dalam GCE, seperti tersenarai di bursa saham London.
Pua pada Mac lalu berkata, jawapan lisan Parlimen yang diterimanya daripada Kementerian Kewangan mengakui SRC mempunyai pegangan ekuiti sebanyak 50%.
Bagaimapun, katanya, kenyataan Ponnert itu membuktikan pegangan saham syarikat itu tidak melebihi 14%, bukannya 50% seperti dinyatakan menteri di Parlimen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.