Halaman

Sabtu, 9 Mei 2015

Menteri tak faham GST, kelirukan rakyat



Oleh RAZMAN ZAKARIA 


TERDENGAR bual bicara mengenai pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dipaneliskan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Dato’ Ahmad Maslan yang dikaitkan dengan tidak cerdik di media maya.

Saya agak sukar mempercayai mainan media ini kerana CGPA menyatakan beliau memperoleh 3.78, manakala grading kecerdikan pada kiraan CGPA ialah 3.5 ke atas.

Sebagai Timbalan Menteri yang terlibat secara langsung dengan GST, sepatutnya beliau lebih faham dan mampu memberi faham kepada orang awam.

Apabila saya sendiri mendengar penerangan yang disampaikan oleh beliau, seolaholeh mengesahkan apa yang diviral dalam media maya.

Katanya, apabila GST dikenakan, harga barang pengguna akan turun kerana GST hanya 6 peratus berbanding dengan struktur cukai lama SST sebanyak 10 peratus.

Benar, dari segi angka memang 6 peratus lebih rendah berbanding 10 peratus.

Di sini saya melihat Ahmad Maslan kurang CGPAnya. SST dikenakan 10 peratus pada harga import atau harga pelepasan dari kilang? Sedangkan pengguna kena membayar GST pada harga akhir setelah ditambah keuntungan perniagaan di pelbagai peringkat.

Kiraan SST

Contoh pengiraan SST dari kilang/pengimport sehingga kepada pengguna.

Katakan harga import/ pelepasan dari kilang RM100 + SST 10 peratus = kos barang menjadi RM110.

Andaikan pengimport mengambil untung 10 peratus + pemborong 10 peratus + peruncit 30 peratus.
Maka harga pengguna akan menjadi (kos RM100 + SST RM10) + (RM11 10 peratus pengimport) + (RM12. 10/= 10 peratus pemborong ) + (RM39.93/= 30 peratus peruncit) = RM173.03.
Harga pengguna termasuk SST adalah RM173.03.

Kiraan GST

GST adalah cukai ke atas barang dan perkhidmatan sebanyak 6 peratus yang perlu dibayar mengikut harga akhir sebelum sampai kepada pengguna.

(GST dibayar mengikut peringkat transaksi perniagaan) Contoh harga import/ pelepasan dari kilang RM100 + GST 6 peratus = RM106.

Katakan kadar keuntungan yang sama seperti SST di atas di mana pengimport 10 peratus + pemborong 10 peratus + peruncit 30 peratus, maka harga pengguna akhir akan menjadi berdasarkan kiraan di bawah.

Harga kos RM106 + (10 pengimport RM10.60 + GST RM6.70) + (10 peratus pemborong RM16.15 + GST RM8.37) + (30 peratus peruncit RM44.35 + GST RM11.53) = RM200.07.
Harga pengguna termasuk GST adalah RM200.07.

(Nota pengiraan ini dianggap GST dikira sebagai kos oleh peniaga di semua peringkat transaksi perniagaan dengan tidak ditolak rebat 6 peratus yang boleh dituntut semula oleh peniaga.)

Bandingkan harga pengguna untuk barang yang sama dengan kadar keuntungan yang sama oleh peniaga di peringkat import + pembong + peruncit pada harga kos RM100.

SST = (Kos + keuntungan peniaga + SST) HARGA RAKYAT RM173.03 GST = (Kos + keuntungan peniaga + GST) = HARGA RAKYAT RM200.07

Bagaimana Ahmad Maslan boleh mengatakan pelaksanaan GST menjadikan harga barang lebih murah? Kalau Umno-BN dan menteri yang memiliki CGPA 3.5 ke atas sepatutnya memulakan GST dengan kadar 0 peratus ke atas semua barangan dan perkhidmatan.

Setelah dibuat kajian mendalam, maka GST secara satu persatu dikenakan ke atas barangan dan perkhidmatan mewah yang digunakan oleh rakyat yang berpendapatan tinggi.

Kerajaan yang cekap sewajibnya menjana pendapatan untuk meringankan rakyat, bukannya membebankan rakyat dengan salah urus pihak kerajaan selama ini. Dasar Umno-BN dilihat membebankan rakyat untuk “menghadiahkan” kekayaan percuma buat pemimpin mereka.

>> Penulis adalah Pesuruhjaya PAS Perak dan menyertai Himpunan BatalGST 1 Mei.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.