Sudah begitu banyak penulisan berkenaan perkara ini walaupun pendedahan hanya berlaku 2 hari lalu. Tidak syak lagi isu ini hangat kerana ia melibatkan wang orang ramai yang penat lelah mengumpul dana untuk menjalankan ibadah haji.
Namun begitu penulisan ini bukanlah berniat untuk melepaskan geram atau menzahirkan emosi.
Saya kira isu pembelian tanah oleh Lembaga Tabung Haji (TH) ini bukanlah berkenaan untung/rugi pembelian tersebut. Saya sendiri mendoakan transaksi itu menghasilkan keuntungan bagi mengelak daripada menjejaskan kewangan dana haji.
Tetapi apa yang kita lihat dalam hal ini adalah penggunaan sebuah institusi kewangan yang berkait rapat dengan masyarakat untuk menyelamatkan satu lagi institusi yang boleh dikatakan sudah gagal untuk menjalankan peranannya sebagai sebuah syarikat pelaburan kerajaan.Ada beberapa isu yang boleh diperhatikan:
Pilihan masa transaksi
Pilihan masa untuk melakukan transaksi bisnes ini sendiri meragukan, seperti yang dinyatakan sejak awal oleh beberapa pengguna Twitter (dan Rafizi Ramli kemudiannya) ia bertepatan dengan bayaran setengah tahun komitmen bon 1MDB yang nilainya seakan-akan sama dengan harga jualan tanah 0.65 hektar tersebut. Jadi adakah kami harus terima sahaja justifikasi ia merupakan pelaburan hartanah strategik oleh TH? Tidakkah ia jelas boleh menjadi tanda tanya mengapa sebidang tanah ini dibeli secara 'rahsia' (anggap saja begitu kerana TH sendiri membuat laporan polis dan ia dikelaskan sebagai rahsia), dalam keadaan segera dan 1MDB pula pada masa yang sama perlukan wang untuk membayar bon? Saya kira 1MDB memerlukan wang itu kerana sebelum ini sudah sedia maklum mereka gagal membayar pinjaman kepada bank pada masa yang ditetapkan.
Kerugian kepada rakyat sudah lama berlaku
Ada mesej WhatsApp viral yang mengatakan masyarakat sudah memfitnah kerana menganggap transaksi itu merugikan orang Islam. Sebenarnya sentimen di sini tidak begitu tepat. Benar transaksi bisnes ini mungkin memberi pulangan yang baik kepada TH, walaupun bisnes tanah itu sebenarnya lebih spekulatif dan tidak memberi gerenti keuntungan. Tetapi apa yang lebih mengecewakan kerugian sebenar sudah lama berlaku kepada rakyat Malaysia. Apabila tanah TRX dijual kepada 1MDB pada kadar yang teramat rendah seperti yang dinyatakan Tun Dr Mahathir Mohamad, ia bertujuan memberi 1MDB tanggungjawab membangunkan tanah tersebut dah memberi pulangan hasil kepada kerajaan. Namun begitu setelah bertahun-tahun ia menjadi milikan 1MDB, tidak ada apa yang terhasil. Maka kerajaan sudah hilang sumber pendapatan, kerana sebarang hasil daripada penjualan tanah oleh 1MDB tidak akan diterima oleh kerajaan secara terus.
Jadi walaupun TH berkemungkinan mengaut keuntungan daripada pembelian itu, namun begitu rakyat Malaysia sudah lama kerugian ratusan juta ringgit. Untung TH tidak memberi makna juga kepada masyarakat kerana sudah pasti kos menunaikan ibadah haji akan terus meningkat dan kadar dividen tidak akan meningkat mendadak hanya dengan satu transaksi hartanah. Cadangan Rafizi untuk melakukan forced sell lebih bermakna kerana rakyat akan dapat merasakan hasil jika projek perumahan itu dijual pada harga mampu milik akibat kosnya yang rendah. Penjualan tanah pada harga fair price memberi andaian harga jualan rumah juga akan 'fair' dengan pasaran sekeliling, iaitu hanya orang kaya yang mampu.
Tadbir urus TH (corporate governance)
Isu seterusnya berkenaan corporate governance TH sendiri. Sedia maklum juga pada masa ini ramai kalangan ahli lembaga pengarah dan barisan pengurusan kanan TH dan 1MDB (dan syarikat bawahnya) berhubung kait - Tan Sri Ismee iaitu CEO kumpulan TH juga merupakan ahli Lembaga pengarah 1MDB; Datuk Johan Abdullah iaitu timbalan CEO TH juga pengerusi 1MDB Edra Energy; Tan Sri Abdul Samad iaitu panel pelaburan TH juga merupakan ahli panel penasihat 1MDB; Tan Sri Irwan Serigar iaitu ahli lembaga pengarah TH dan 1MDB (juga ketua perbendaharaan negara di bawah Kementerian Kewangan...bos beliau adalah Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak yang merupakan pengerusi penasihat 1MDB).
Jadi tidakkah sudah ternampak terdapat 'conflict of interest' bak persoalan Khairy Jamaluddin? Apa yang lebih menghairankan pengerusi TH sendiri tidak mengetahui mengenai transaksi tersebut sehari sebelum ia dinyatakan secara awam oleh Johan (berdasarkan penafian beliau di Twitter). Jadi bagaimana boleh transaksi melibatkan ratusan juta itu tidak diketahui pengerusinya sendiri. Kalau begitu adakah barisan lembaga pengarah yang lain mengetahuinya? Di manakah check and balance jika begitu? Adakah penilaian tulus dibuat? Walaupun institusi ini bukanlah syarikat PLC, tetapi pihak berkepentingan mereka tetap orang awam, maka corporate governance amatlah penting.
'Histeria' dan pasaran bebas
Terdapat juga penulisan yang mengatakan masyarakat Melayu cepat histeria, kuat meroyan hanya kerana TH membeli tanah 1MDB sedangkan tidak ada isu. Permasalahan ini bukanlah tidak disangka. Mengikut laporan audit yang didedahkan dalam blog baru-baru ini, pembelian tanah 1MDB oleh TH mempunyai risiko yang hebat melibatkan reputasi. Jika laporan itu hanya diada-adakan sekalipun, tetapi jelas kelihatan sememangnya transaksi itu memberi kesan kepada reputasi TH. Masalah di sini bukanlah masyarakat Melayu 'histeria' tetapi masyarakat lebih sedar tentang kepincangan syarikat 1MDB.
Reaksi itu semula jadi kerana masyarakat tidak ada keyakinan dengan syarikat yang mempunyai hutang besar bernilai RM42 bilion. Itu juga sebahagian daripada bisnes, apabila pihak berkepentingan tidak yakin dengan mana-mana parti dalam perniagaan, maka mereka akan bertindak menjaga kepentingan sendiri tidak kira Melayu mahupun ahli bisnes luar negara. Dalam hal ini, mereka rasa lebih baik mengeluarkan deposit. Jika TH boleh membuat "strategic business decision" maka penyimpan juga boleh membuat keputusan sendiri dalam transaksi itu. Itu namanya pasaran bebas. Peranan TH di sini adalah untuk mengembalikan keyakinan dengan penerangan jelas, bukan membuat laporan polis kerana kertas cadangan bocor.
Patuh syariah?
Seterusnya Datuk Saifuddin Abdullah menanyakan soalan menarik berkenaan isu ini iaitu adakah transaksi tanah dengan 1MDB itu benar-benar patuh syariah? Rasanya apa yang dimaksudkan di sini adalah terdapat satu unsur gharar (ketidakpastian/uncertainty), lebih kepada peranan 1MDB dan bisnes yang dijalankan syarikat pelaburan itu. Perkara ini juga sedia maklum terutamanya sejak Dr Mahathir mula menyuarakan pendapat beliau.
Masalah yang lebih besar
Seperti yang dimaklumkan pada awal penulisan, isu di sini adalah lebih besar daripada pembelian sebidang tanah kecil. Ia juga bukan hanya masalah penggunaan dana haji masyarakat Islam. Tetapi ia menimbulkan tanda tanya berkenaan penggunaan duit rakyat Malaysia untuk menutup hutang syarikat 1MDB yang gagal menjalankan amanah yang diberi.
Sedar atau tidak, transaksi ini hanyalah bernilai lebih kurang RM190 juta. Memang 1MDB membuat untung lumayan kerana pada mulanya mereka membeli tanah yang teramat murah. Tetapi hasil jualan ini hanyalah untuk membayar hutang. Dan hutang ini ada berbilion lebihan lagi. Jika tanah ini, seperti yang dikatakan, dijual dengan harga diskaun, bagaimana pula dengan tanah lain? Jika semua dijual dengan harga diskaun, mana lagi hendak korek untuk menutup hutang? Nilai semua tanah milikan 1MDB tidak mungkin cukup membayar hutangnya yang banyak.
Bukan itu saja, malang sekali mereka menggunakan dana amanah pengurusan haji untuk membuat
transaksi pertama ini, tapi selepas ini syarikat mana pula? Berapa banyak lagi wang rakyat yang akan digunakan? Sedangkan terdapat begitu banyak syarikat GLC yang tidak begitu berkait rapat dengan orang awam, mengapa mulakan dengan TH? Adakah kerana ia lebih mudah? Atau adakah kerana syarikat korporat tidak begitu mudah diarahkan?
Saya kira juga perkara ini bukanlah isu yang dibesar-besarkan oleh orang yang bodoh kewangan saja kerana ia juga dipersoalkan oleh ahli politik kedua-dua pihak termasuklah Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan dan Tun Dr Mahathir. Jadi lebih elok jika semua yang terlibat berterus terang, terutamanya dalam isu 1MDB, kerana ia melibatkan kepentingan awam. Berapa lama lagi kita mahu lihat isu ini berterusan dan berapa banyak lagi kewangan rakyat dan negara yang perlu dikorbankan?
- http://www.themalaysianinsider.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.