Seperti yang diketahui umum, perancangan rakyat untuk mengadakan himpunan aman #BatalGST - Kami Tok Janggut di ibu kota Kuala Lumpur pada 1 Mei lalu telah berlangsung dengan jayanya, dengan penyertaan lebih 30,000 orang yang merangkumi pelbagai golongan dan kaum dari seluruh negara.
Namun setelah perhimpunan itu selesai, seribu kehairanan dan tanda tanya pula timbul di kalangan rakyat, apabila pihak polis masih terus bertindak dengan tidak profesional dengan menangkap 53 peserta perhimpunan itu.
Atas alasan apakah mereka ditangkap? Mereka tidak pun melakukan sebarang keganasan. Mereka semata-mata turut menyertai perhimpunan itu untuk bersama-sama orang ramai menyatakan pandangan berhubung pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) bagi pertimbangan kerajaan.
Dengan tindakan pihak polis itu, ternyata undang-undang yang digubal pada persidangan Dewan Rakyat April lalu yang membawa kepada kelulusan Akta Pencegahan Keganasan (POTA) dan pindaan Akta Hasutan 1948 tidak juga membawa perubahan ke arah yang lebih baik kepada rakyat dan negara ini.
Malah, kenyataan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak mengenai akta tersebut tidak bermotifkan politik, jaminan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai akta tersebut tidak akan diheret bagi kepentingan politik kerajaan Umno-BN, ternyata tidak memberikan sebarang erti.
Sebaliknya, kebimbangan pelbagai pihak termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengenai penyalahgunaan akta tersebut oleh pihak kerajaan Umno-BN ternyata berasas.
Lebih jauh dari itu, pihak polis jelas gagal untuk menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman, pada hal perkara itu termaktub dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan yang perlu dihormati dan dihayati semua pihak.
Seperti yang diketahui umum, tindakan rakyat menerusi gabungan Pakatan Rakyat, beberapa NGO dan orang perseorangan yang mengadakan serta menyertai perhimpunan itu bukanlah semata-mata atas pertimbangan politik. Sebaliknya, bagi kepentingan rakyat dan negara.
Setelah sebulan GST dilaksanakan, pelbagai keburukan telah muncul dalam negara ini. Rakyat yang prihatin terpanggil untuk mendesak kerajaan menimbangkan semula pelaksanaan cukai tersebut demi kepentingan semua pihak menerusi perhimpunan tersebut, setelah pelbagai usaha yang dilakukan sebelum ini tetap tidak dipedulikan oleh pihak kerajaan.
Kebetulan pula, perhimpunan tersebut diadakan sempena sambutan Hari Pekerja di seluruh dunia.
Ketika negara sedang bersiap sedia untuk melangkah sebagai negara maju menjelang tahun 2020, pelbagai kelemahan yang ada perlulah diperbaiki oleh kerajaan. Di negara maju, himpunan aman yang diadakan oleh rakyat hanyalah perkara biasa. Di negara maju juga, pandangan yang baik daripada rakyat dialualukan oleh kerajaan.
Kenapa pula di tanah air kita yang tercinta ini, keadaannya menjadi terbalik. Sesuaikah apa yang dilakukan oleh pihak kerajaan itu dengan status negara maju yang sedang dituju oleh Malaysia?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.