KUALA TERENGGANU - Penyertaan bekas Naib Presiden Pas, Ahmad Awang untuk bertanding di peringkat Presiden Pas tidak sesekali memberi isyarat berlaku kelemahan dalam kepimpinan penyandang sedia ada, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sebaliknya, bagi Pemuda Pas Terengganu, ia dilihat perkara positif yang tidak menyalahi perlembagaan parti yang jelas mengamalkan demokrasi melalui penyertaan secara terbuka kepada mereka yang berkelayakan.

Ketuanya, Kamaruzaman Abdullah turut menggambarkan keadaan itu mungkin dilihat lain daripada kebiasaan kerana jawatan presiden biasanya tidak dicabar namun berbeza dengan suasana yang bakal berlangsung, Jun ini.

“Kita mengalu-alukan mana-mana pihak yang layak untuk berkhidmat dengan parti dan kita positif mengenai perkara itu,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai Ahmad yang sah bertanding di peringkat jawatan Presiden Pas, sekali gus bakal mencabar Abdul Hadi dalam pemilihan parti itu, bulan depan.

Antara alasan Ahmad untuk bertanding adalah mahu menguatkan ukhuwah dan memperkukuh kesatuan ahli bertunjang kasih sayang kerana ALLAH SWT, meraikan perbezaan pendapat, memperkasa Pas di arena nasional dan aktif mengambil bahagian dalam isu antarabangsa.

Sementara itu, Kamaruzaman menjelaskan bahawa Abdul Hadi tidak layak untuk dicabar oleh pencabar lain kerana jumlah pencalonan yang amat tinggi diperoleh Abdul Hadi di peringkat kawasan yang memperlihatkan beliau jauh meninggalkan calon lain yang layak bertanding jawatan sama.

Keadaan itu katanya, secara tidak langsung memberi gambaran bahawa Abdul Hadi menerima sokongan tidak berbelah bahagi daripada peringkat Pas kawasan.

Selain Ahmad, Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa juga layak bertanding jawatan presiden kerana melebihi dua pencalonan namun hanya Ahmad yang mengesahkan untuk mencabar Abdul Hadi.

Jelasnya, jika calon lain menilai dengan mendalam jumlah pencalonan diperoleh mereka berbanding Abdul Hadi, sudah tentu mereka boleh membuat kesimpulan bahawa Abdul Hadi tidak sepatutnya dicabar.

Melalui pencalonan diperoleh katanya, ia juga langsung tidak menggambarkan bahawa kedudukan Abdul Hadi dalam keadaan genting ataupun patut dicabar.