SHAH ALAM – Ahli Parlimen (DAP-Bukit Bendera), Zairil Khir Johari kesal
apabila Kerajaan Persekutuan didakwa meminggirkan Pulau Pinang dalam
Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) apabila tidak tersenarai sebagai
bandar yang berdaya saing untuk pelaburan.
Beliau berkata, pengecualian itu menunjukkan Kerajaan Persekutuan
berterusan mengamalkan budaya politik sempit dan berjiwa kecil sedangkan
Pulau Pinang adalah bandar terkenal dan maju selepas Kuala Lumpur.
“Pulau Pinang juga sebagai bandar raya paling sesuai didiami di
Malaysia mengikut ECA International, malah pengecualian itu juga tidak
sesuai dengan kriteria yang digunakan oleh kerajaan sendiri.
“Oleh itu, pengecualian itu adalah tidak kurang daripada satu
mempersendakan pentadbiran Pulau Pinang yang hanya berdasarkan politik
kecil dan sempit,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam RMK11 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun
Razak hari ini, kerajaan telah memperkenalkan enam teras strategik dan
salah satu daripadanya adalah melabur dalam bandar berdaya saing.
Di bawah bidang tumpuan itu, Pelan Induk Daya Saing Bandar itu akan
dirangka bagi empat bandar utama iaitu Kuala Lumpur, Johor Bharu,
Kuching dan Kota Kinabalu berdasarkan prinsip utama yang meningkatkan
daya huni dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi.
Prinsip itu termasuklah mewujudkan kepadatan bagi meningkatkan
kecekapan, memperluas pembangunan berasaskan transit bagi meningkatkan
mobiliti dan memperkukuh kluster berasaskan pengetahuan bagi
meningkatkan inovasi dan aglomerasi.
Mengulas lanjut, Zairil yang juga Pengarah Eksekutif, Institut Pulau
Pinang berkata Pulau Pinang mempunyai taburan penduduk yang kedua
tertinggi di negara ini selepas Kuala Lumpur sekaligus menjadi
penyumbang utama dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
“Pada 2014, KDNK Pulau Pinang adalah RM71 bilion, yang merupakan
tertinggi kelima selepas Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Sarawak.
“Apa yang dinyatakan oleh RMK-11 itu sendiri, Pulau Pinang lebih
daripada layak untuk dipilih sebagai salah satu daripada empat
bandar-bandar untuk dimasukkan ke dalam pelan induk yang dirancang untuk
bandar-bandar,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.