Halaman

Khamis, 21 Mei 2015

RMK11: Pembangkang khuatir merugikan rakyat

Pembangkang akan mengkaji dan meneliti semula pembentangan RMK11 bagi memastikan ia menguntungkan rakyat.


wan-azizah_rmk_600


KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempersoalkan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Presidennya yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail membangkitkan persoalan itu kerana khuatir perkara yang sama seperti Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) berulang.

“Dalam RMK10 mengatakan 1MDB itu akan menguntungkan rakyat. Tetapi apa kita lihat duit Tabung Haji telah digunakan oleh kerajaan” katanya kepada pemberita di perkarangan Parlimen.

“Kerajaan boleh cakap macam-macam, bentang macam-macam tetapi apa yang penting prinsip perancangan itu mesti telus, jangan dolak dalik, efisien, hindar dari rasuah, bebas ketirisan dan jangan baca kenyataan audit sahaja,” ujarnya.

Wan Azizah menegaskan, pihaknya akan mengkaji dan meneliti semula pembentangan RMK11.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali pula berpendapat rakyat perlu melihat keupayaan kerajaan dalam melaksanakan program-program yang dijanjikan sebelum ini (RMK10) berbanding pengumuman yang dibuat pada RMK11.

Beliau juga meluahkan kekecewannya selepas kerajaan hilang fokus untuk meneliti ketirisan, salah guna kuasa dan penyelewengan satu jumlah yang besar seperti dilaporkan oleh Ketua Audit Negara.

Ahli Parlimen Bukit Antarabangsa itu berang apabila kerajaan langsung tidak menyentuh langkah-langkah untuk mengatasi masalah yang menyelubungi negara menerusi syarikat pelaburan 1MDB dan Tabung Haji.

Tambahnya, ketiadaan langkah mengatasi masalah besar itu juga akan menyebabkan keyakinan pelabur tempatan dan asing terhakis dan boleh memberi impak negatif kepada ekonomi negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.