KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan
Kassim menegaskan tidak ada keperluan untuk memansuhkan potfolio menteri
mengenai hal ehwal Parlimen sebagai yang dicadangkan oleh Speaker Dewan
Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Beliau berkata hujah Pandikar Amin bahawa tugasan sedemikian memberi
persepsi seolah-olah Parlimen di bawah telunjuk kerajaan tidak berasas
sama sekali kerana tidak ada pun campurtangan sedemikian.
"Yang di-Pertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara sememangnya menjalankan
fungsi dengan bebas dan terpisah semasa menguruskan Persidangan Dewan
Rakyat dan Negara. Tiada sebarang gangguan dari mana-mana pihak termasuk
saya sendiri.
"Sebagai Menteri yang bertanggungjawab, saya hanya membawa usul kerajaan untuk dibahaskan di dalam Dewan," kata beliau.
"Hal-hal pentadbiran di parlimen dijalankan oleh Ketua Pentadbir Parlimen," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Shahidan adalah menteri yang menjaga hal ehwal Parlimen yang membabitkan kepentingan kerajaan.
Shahidan berkata kewibawaan Parlimen itu amat penting kepada
kredibiliti kerajaan justeru seorang menteri dipertanggungjawab untuk
memantau perjalanan Parlimen.
"Sebagai sebuah institusi penting yang mengawal dan menentukan
penubuhan kerajaan persekutuan, perjalanan parlimen mendapat perhatian
khusus yang berterusan daripada YAB perdana menteri.
"Dengan sebab itu, maka perdana menteri telah membuat keputusan untuk
meletakkan seorang menteri dengan portfolio khusus untuk memantau
perjalanan parlimen. Portfolio menteri tersebut tidak terlibat, tidak
campurtangan dan tidak juga menganggu kuasa-kuasa Yang di-Pertua Dewan
Rakyat dalam menjalankan tugasnya," katanya.
Malah Shahidan menyifatkan perkara ini hanya muncul setelah ianya
ditimbulkan oleh bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad.
Untuk rekod, Pandikar Amin semalam menzahirkan kepercayaannya dan
berpuas hati dengan keikhlasan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk
memperkukuhkan institusi parlimen.
Namun beliau menyarankan pihak kerajaan memansuhkan portfolio Menteri
menjaga hal ehwal Parlimen demi menghilangkan persepsi rakyat bahawa
institusi Parlimen dan Speaker bertugas atas arahan pihak kerajaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.