SHAH ALAM – Adun Kampung Tunku, Lau Weng San meminta maaf kepada
Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berhubung kekeliruan kenyataan yang
dikeluarkan bersifat membandingkan pentadbiran Selangor kini dengan
sebelumnya.
Katanya, beliau tidak bermaksud untuk membandingkan pentadbiran Tan Sri
Abdul Khalid Ibrahim lebih cekap hanya kerana jawapan diberikan lebih
lengkap.
Sebaliknya Setiausaha DAP Selangor itu memaklumkan pihaknya terkejut
dengan laporan portal yang melaporkan kenyataannya sebagai berkata “DAP
akui pentadbiran Khalid Ibrahim lebih cekap” yang disiarkan pada 19 Mei.
“Pertama sekali, laporan ini adalah tidak tepat kerana isu yang
dibincangkan dalam sidang media saya bertarikh 18 Mei tiada kaitan
dengan parti DAP.
“Kedua, saya mengatakan dalam sidang media berkenaan ialah saya pernah
membangkitkan perkara yang hampir sama dalam sidang Dun pada Mac 2012
dan jawapan yang saya terima pada masa itu adalah lebih lengkap,”
katanya dalam satu kenyataan.
Weng San menegaskan, perkataan “lengkap” tidak boleh disamaertikan dengan maksud atau perkataan “cekap”.
“Lebih-lebih lagi, saya tidak bermaksud bahawa pentadbiran Abdul Khalid lebih cekap hanya kerana jawapannya lebih lengkap.
“Saya memohon maaf sekiranya kesilapan ini telah menyebabkan
perselisihan faham yang tidak diperlukan. Malah saya turut berasa kesal
dengan kesilapan laporan ini dan memohon pihak yang berkenaan untuk
memperbetulkan kesilapan ini secepat mungkin,” katanya.
Susulan kontroversi itu, menteri besar telah memaklumkan bahawa beliau
telah mengarahkan Pegawai Kewangan Negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri
untuk mempercepatkan pemprosesan maklumat berkenaan.
“Saya ingin mengucapkan syabas dan terima kasih kepada menteri besar
dan pejabatnya kerana prihatin dengan isu yang dibangkitkan.
“Sememangnya, ketelusan dan keterbukaan dalam pentadbiran PR merupakan
mercu tanda yang perlu dipertahankan setiap masa,” katanya.
Menurut Weng San, beliau telah menerima jawapan bertulis yang diminta
untuk menulis kepada Pejabat Menteri Besar bagi mendapatkan jawapan
tersebut.
“Saya telah berbuat seperti diminta dan ditekankan sekali lagi bahawa
memang Pejabat Menteri Besar ada menjawab surat saya di mana perkara itu
telah diajukan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor untuk
tindakan selanjutnya.
“Hal demikian, saya akan menunggu jawapan daripada pegawai-pegawai yang berkenaan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.