Halaman

Jumaat, 8 Mei 2015

Zahid: Simpton positif sokong BN di Pmtg Pauh

MALAYSIAKINI


 


Keputusan PRK Permatang Pauh menunjukkan simptom positif kepada Barisan Nasional (BN), kata Pengarah Pilihan Raya Jentera BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Simptom positif ini memberi sinar baru kepada perjuangan Umno di Permatang Pauh. Tahniah dan syabas kepada pengundi yang sebelum ini berstatus hitam, kini telah memberi sokongan kepada BN," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Operasi BN di Permatang Pauh malam tadi.

Beliau berkata walaupun tewas PRK itu namun, ia menampakkan perubahan dan peningkatan sokongan yang besar kepada BN.

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menang kerusi Parlimen itu dengan majoriti 8,841 undi apabila memperoleh 30,316 undi untuk mengalahkan calon BN Suhaimi Sabudin yang mendapat 21,475 undi.
  
Dua lagi calon iaitu Salleh Isahak (Bebas) mendapat 367 undi dan Azman Shah Othman daripada Parti Rakyat Malaysia memperoleh 101 undi. Undi rosak ialah 843 undi.

Ahmad Zahid berkata BN telah mencatatkan kemenangan moral di Permatang Pauh dan mahu jentera parti terus bersemangat dan bermotivasi dengan angin perubahan di kawasan Parlimen itu.

"Isu-isu nasional yang dimanipulasi oleh pembangkang harus ditangani segera melalui penjelasan agar ia tidak menjadi barah dalam minda masyarakat.

"Kerajaan BN sedar Permatang Pauh amat dahagakan pembangunan dan ingin melihat apakah yang mampu dilaksanakan Pakatan Rakyat kepada masyarakat di sini dalam tempoh tiga tahun ini," katanya.

Menurutnya BN menerima keputusan itu dengan hati terbuka kerana kuasa rakyat adalah kuasa penentu mutlak.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga menteri dalam negeri terkilan dengan beberapa insiden tidak diingini sepanjang pilihan raya kecil itu berlangsung.

Walaupun pasukan keselamatan mengadakan kawalan rapi, tetapi masih ada segelintir pihak yang menolak peraturan, katanya.

"Jika inilah bentuk demokrasi, pada hemat saya, ada harga mahal yang perlu dibayar jika pemimpin pihak yang merestui perbuatan mereka ini tidak menunjukkan demokrasi," katanya.

Manakala Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak yang juga pengerusi BN berkata gabungan parti itu bertekad untuk mengukuhkan azam bagi memastikan kemenangan pada pilihan raya umum akan datang.

"Terima kasih atas usaha semua di Permatang Pauh. @barisanasional akan tingkatkan lagi azam untuk berjaya di pilihan raya akan datang," katanya dalam entri terbarunya di laman sosial Facebook.

Di MILAN, Timbalan Pedana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata BN menerima keputusan PRK itu dengan hati terbuka.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada jentera BN di atas kegigihan mereka dan para pengundi yang memilih calon BN.

Pada masa sama, beliau meminta parti-parti komponen BN supaya terus berusaha demi gabungan parti itu.

Sementara itu, calon BN, Suhaimi Sabudin berikrar untuk terus berkhidmat kepada masyarakat walaupun tewas dalam PRK Permatang Pauh.

Beliau menerima keputusan itu dengan berlapang dada dan melihatnya sebagai keputusan keseluruhan seluruh pengundi di kawasan parlimen itu.


"Medan PRK ini adalah pengalaman berharga dalam karier politik saya. Saya amat berterima kasih kepada pengundi-pengundi yang telah menyokong saya," katanya kepada pemberita malam tadi.

Sementara itu, Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow berkata PRK kali ini menyaksikan kerjasama yang terbaik dalam kalangan parti komponen.

"Semua parti komponen BN iaitu Umno, MCA, MIC, Gerakan dan Parti Progresif Penduduk (PPP) bersatu padu dan menunjukkan usaha yang bersungguh-sungguh.

"Namun, ini adalah keputusan peti undi dan kita akan buat 'post-mortem' bagi mengenal pasti apa kekurangan yang boleh diperbaiki," katanya.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman pula berkata keputusan PRK itu adalah mesej yang diberi pengundi untuk terus bekerja keras pada masa depan.

"Ini akan dijadikan pedoman untuk perjuangan kita. Kita ada calon yang baik, orang muda, anak tempatan, tiada masalah.

"Kita juga mempunyai jentera yang lengkap berusaha sepenuh daya dan tenaga, tetapi apa yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya," katanya.- Bernama
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.