MALAYSIAKINI
Dua beradik nekad meredah api yang mula merebak ke rumah mereka bagi
menyelamatkan nenek mereka yang lumpuh dalam kebakaran di Kampung Baru
Sungai Ara, di George Town semalam.
Hassan Al Hafiz Samsuri, 22, berkata ketika kejadian neneknya Aminah
Abdullah, 94, berada dalam bilik di kediaman dua tingkat itu manakala
dia dan adiknya Ahmad Musthofa, 21, menonton televisyen di ruang tamu.
"Kami dengar bunyi letupan di rumah sebelah dan bila kami keluar untuk
melihat, kami nampak api sedang marak di rumah sebelah dan merebak ke
rumah kami.
"Kami terus ke bilik dan mendukung nenek keluar dari rumah... api ketika
itu sudah merebak dengan pantas dan dalam sekelip mata memusnahkan
rumah kami," katanya.
Kebakaran pada pukul 11.20 pagi itu memusnahkan tiga buah rumah dua tingkat separa papan dan batu yang terletak bersebelahan.
Hassan Al Hafiz berkata kebakaran itu menyebabkan mereka sekeluarga
tinggal sehelai sepinggang dan semua wang dan kelengkapan untuk beliau
menyambung pelajaran di Kolej Insaniah di Kuala Kertil, akhir bulan ini
turut musnah.
"Segala pakaian, buku dan wang yang saya simpan hangus terbakar, yang
tinggal hanyalah baju dan seluar yang saya pakai sekarang," katanya
yang tinggal di rumah itu bersama ibu bapa, nenek dan tiga adik
beradiknya.
Pegawai Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang Nazri Mustafa
berkata tiga jentera bersama 20 pegawai dan anggota dari balai Bayan
Baru dan Jalan Perak mengambil masa 20 minit untuk mengawal kebakaran.
"Ketika kami sampai, api sedang marak di ketiga-tiga rumah itu," katanya.
Beliau berkata punca kejadian dan jumlah kerugian masih disiasat.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.