KUALA LUMPUR-  Timbalan Pengerusi Keharmonian Agama MCA, Ng Chok Sin mahu tahu sama ada DAP akan putus hubungan dengan PKR sekiranya Wan Azizah menyokong hudud.

“Kami ingin tahu, selepas memutuskan hubungan dengan presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, adakah DAP juga akan memutuskan hubungan dengan PKR dan Wan Azizah, memandangkan presiden PKR itu secara terbuka mengumumkan sokongan beliau terhadap pelaksanaan hudud,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menyatakan, pada 26 Jun lalu, satu laporan dibuat terhadap bahagian penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui isterinya, presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail terhadap Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, dengan mendakwa peguam itu secara terbuka menuduh Anwar melakukan liwat terhadap pembantunya, Saiful, tanpa memberi empat saksi seperti yang ditetapkan oleh undang-undang.

“Dengan tindakan sedemikian, Wan Azizah membuktikan bahawa beliau menyokong hudud, seperti Hadi, yang dalam cubaan kedua cuba mengusulkan Rang Undang-Undang Persendirian di Parlimen, kini,” katanya dalam kenyataan.

Anggota jawatankuasa MCA itu turut mengesyorkan DAP supaya meneruskan hubungan dengan PKR walaupun tanpa Wan Azizah untuk terus mendapat manfaat politik.

Beliau berkata DAP hanya berani memutuskan hubungan dengan PAS sekiranya parti Islam itu meneruskan agenda hudud mereka, namun sebenarnya hanya PAS yang memutuskan hubungan antara kedua-dua parti itu.

“Bagi manfaat politik, DAP mungkin perlu meneruskan hubungan dengan PKR tanpa Wan Azizah, sama seperti mereka memutuskan hubungan dengan Hadi dan bukan parti PAS. Tak perlu kita harap lebih dari DAP.

“DAP selama ini banyak membohongi orang ramai mengenai isu hudud dengan bersikap tidak patuh pada keputusan selepas tipu daya mereka didedahkan kerana sebenarnya mereka hanya berani memutuskan hubungan dengan presiden PAS.

“Ia berakhir sebagai lawak politik apabila lebih ramai dari PAS yang meninggalkan DAP,” katanya.

Chok Sin menyatakan DAP perlu membuat keputusan tegas berkenaan isu hudud dan bukan bersembunyi di belakang drama politik.

“DAP sepatutnya membuktikan mereka jujur dan serius dalam menolak hukum hudud dengan memutuskan hubungan dengan PKR dan Wan Azizah.

“DAP perlu menolak melakukan ‘double standard’ dan mengumumkan memutuskan hubungan dengan PKR secepat mungkin,” katanya.