Halaman

Ahad, 21 Jun 2015

Makan dalam dulang, meriahkan suasana Ramadan

THE RAKYAT POST


makan dalam dulang
Amalan makan dalam dulang begini dapat mengeratkan lagi silaturrahim antara keluarga dan kariah masjid. - Foto TRP/Ahmed Syahril Zulkeply



KUALA LUMPUR:  Ramadan bulan yang penuh keberkatan dan menjanjikan ganjaran pahala yang besar sudah pun tiba pada Khamis lalu.


Malah dengan berbuka puasa sahaja umat Islam di seluruh dunia bakal memperolehi ganjaran pahala dengan mudah selain bersahur serta menunaikan solat sunat tarawih secara berjemaah.

Walaupun trend berbuka puasa secara beramai-ramai di restoran sudah menjadi kebiasaan namun berbuka dengan menikmati juadah makanan dalam dulang sudah tentu memeriahkan lagi suasana Ramadan.

Situasi itu boleh disaksikan di Masjid Darul Ehsan SS 15, Subang Jaya, Selangor kerana setiap kali Ramadan tiba, jemaah di masjid ini akan berkongsi hidangan dalam dulang untuk berbuka.

Menurut salah seorang pengunjung masjid berkenaan, Mohd. Shahril Azizi, 34, berkata, amalan makan dalam dulang dipraktikkan di masjid itu setiap tahun.

Selain nasi dan lauk-pauk, turut disediakan pelbagai kuih-muih, buah-buahan dan ulam dalam dulang tersebut.

“Makan dalam dulang ketika berbuka puasa di sini lebih meriah kerana ramai yang berbuka di Masjid.
“Selain penduduk setempat, para pelajar yang bermusafir juga tidak ketinggalan menikmati juadah berbuka secara makan dalam dulang,” katanya sambil tersenyum.

Pelajar dari Yaman, Mustafar Abdullah, 25, berkata, di negaranya sudah menjadi kebiasaan untuk melihat umat Islam di sana berbuka secara makan dalam dulang.

“Juadah dalam dulang di sini hampir sama cuma bezanya hanya di Yaman, kami makan roti dan sini pihak masjid menyediakan nasi dan lauk yang enak,” katanya sambil menambah beliau seronok menikmati juadah berbuka di masjid berkenaan kerana boleh berkongsi hidangan dengan empat orang rakannya.

Tambah, Abdul Majid Hambali, 39, dari Syiria, beliau berpendapat bahawa makan secara berjemaah ini lebih berkat kerana ia boleh mengeratkan lagi tali silaturahim sesama umat Islam.

“Saya bersyukur kerana pada bulan Ramadan di Malaysia, ramai yang bermurah hati menderma dan kami yang musafir ini juga berpeluang merasai hidangan menu tempatan yang cukup mewah berbanding di negara saya.

“Saya rasa bertuah kerana berpeluang tinggal di sini dan saya doakan agar Malaysia terus aman dan sentosa,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.