Ia membabitkan jumlah RM600,000 bagi tempahan tiket kapal terbang dan hotel penginapan ke London dan Zurich.
PETALING JAYA: Seorang pegawai tinggi Pasukan Bola Sepak Selangor (FAS) didakwa gagal menjelaskan bayaran bagi lawatan mesyuarat bersama keluarga ke luar negara berjumlah lebih RM600,000.
Jumlah itu bagi pembayaran tempahan tiket kapal terbang dan hotel penginapan di London dan Zurich pada 16 Mei hingga 1 Jun 2015.
Pegawai berkenaan dipercayai menghadiri Mesyuarat Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) yang diadakan 29 Mei baru-baru ini.
FMT difahamkan, pegawai itu telah membuat pembayaran kepada Tourism Selangor yang menguruskan tempahan itu menerusi tiga keping cek.
Malangnya, kesemua cek itu gagal diproses oleh pihak bank.
Selepas pihak Tourism Selangor memaklumkan perkara itu, seorang individu yang rapat dengan pegawai berkenaan telah membuat penggantian cek berjumlah RM635,000 pada 7 Mei 2015.
Bagaimanapun, ia juga bermasalah dan pemeriksaan lanjut mendapati, tiada sebarang transaksi yang berlaku pada tarikh berkenaan.
FMT dimaklumkan, pihak Tourism Selangor telah membuat pembayaran pendahuluan bagi tempahan itu berjumlah RM180,917.
Perkara ini telah heboh diperkatakan di kalangan pegawai dan kakitangan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Selangor (SUK) yang mempersoalkan mengapa Tourism Selangor menggunakan dana mereka untuk membuat pembayaran pendahuluan kepada pegawai FAS itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.