Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob berkata, sebaliknya, keputusan yang dibuat melalui muktamar tersebut adalah mewakili perwakilan yang melihat sendiri kepimpinan ke arah dasar yang diperjuangkan Pas selama ini.
“Bagi saya, ia merupakan rutin biasa dalam mana-mana jemaah dan pertubuhan di mana perwakilan yang membuat keputusan. Mungkin itu satu teguran kepada pemimpin kita, mungkin ada yang dilihat tidak menepati dengan kehendak dasar,” katanya kepada media selepas merasmikan Kolokium Dasar Berkebajikan dan Kesejahteraan Rakyat Negeri Kelantan di Kelantan Trade Centre (KTC) di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai dakwaan parti baru akan ditubuhkan susulan selepas beberapa kepimpinan tertinggi utama yang membantu mencorakkan perjuangan pas sebelum ini ditolak ketika muktamar parti itu, bulan lepas.
Menurutnya, kepimpinan tersebut seharusnya menghormati keputusan yang dibuat dan menganggap ia satu teguran yang baik serta lebih bersikap terbuka dalam meneliti kembali gerak kerja dan juga tanggungjawab mereka kepada parti selepas ini.
Beliau yang juga Pesuruhjaya Pas Kelantan itu turut menegaskan, tidak semestinya pemimpin yang ditolak baru-baru ini akan menemui kegagalan yang sama juga untuk masa hadapan.
“Tidak semestinya kalah hari ini, dia akan kalah lagi selepas ini. Itu satu rutin biasa dalam mana-mana parti. Kita sendiri lihat Umno, dia (pemimpin) kalah pun tidak keluar parti atau tubuh parti baru.
“Tapi mesti melihat di mana kekurangan yang ada pada dia, di mana perwakilan melihat sesuatu mengikut kaca mata dasar, bukan melihat semasa. Adakah dasar yang dikuatkuasakan itu menepati atau tidak,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.