TERHARU membaca mengenai seorang mufti besar dari Arab
Saudi yang dilaporkan teresak-esak dalam sebuah program televisyen
baru-baru ini apabila menerima soalan melalui telefon daripada seorang
saudara Islam dari Somalia.
Soalan itu berbunyi: “Adakah puasa kami di Somalia sah dan diterima ALLAH, sedangkan kami tidak dapat bersahur dan berbuka?”.
Tentu pembaca budiman sedia maklum kenapa ia sangat menyentuh perasaan mufti itu.
Saya yakin apa yang berlegar dalam fikiran mufti itu adalah betapa
jutaan manusia di merata dunia bersuka-ria makan minum secara membazir,
sedangkan ramai lagi hamba ALLAH di muka bumi ini yang tidak ada apa pun
untuk dimakan, bahkan mati kerana lapar.
Somalia adalah antara 10 negara termiskin di dunia. Negara Islam di
Afrika ini kehilangan lebih daripada seperempat juta rakyatnya akibat
kelaparan.
Menurut statistik, 43 peratus daripada kira-kira 10 juta rakyat Somalia hidup dalam kemiskinan.
Kemunduran dan kemiskinan di Somalia berlaku disebabkan beberapa
faktor, antaranya, tiada kerajaan pusat yang aktif, persengketaan
dalaman, dan bencana alam seperti banjir dan kemarau.
Sesuai dengan Ramadan al-mubarak ini, ada baiknya kita teliti semula
tabiat makan, perbelanjaan dan sikap pembaziran di negara kita sendiri,
serta cari jalan penyelesaiannya.
Percaya atau tidak, kajian membuktikan rakyat Malaysia membuang makanan
sehingga 8,000 tan atau lapan juta kilogram sehari dan jumlah itu mampu
menampung bekalan makanan untuk enam juta orang, lebih separuh penduduk
Somalia.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan
Pembersihan Awam Datuk Ab Rahim Md Noor kos pengurusan sisa pepejal,
termasuk makanan yang dibuang, melibatkan berbilion ringgit.
Beliau berkata peratusan komposisi sisa makanan didapati meningkat 15 hingga 20 peratus pada musim perayaan.
“Sisa makanan adalah komponen tertinggi dalam skala komposisi sisa
pepejal, pada 45 peratus, malah kos perbelanjaan untuk pengurusan
sisa-sisa pepejal di negeri-negeri bawah seliaan pihak kami mencecah
RM1.6 bilion tahun lepas.
“Perkara ini amat membimbangkan dan dengan itu kami akan melancarkan
Program Transformasi Minda Oktober ini untuk mengubah minda masyarakat
supaya tidak membuang makanan sesuka hati,” katanya kepada media tidak
lama dahulu.
Dalam usaha menangani sikap pembaziran oleh sebahagian rakyat negara
ini yang amat membimbangkan itu, kerajaan diminta mewujudkan dasar bagi
mengenakan denda kepada mereka yang membuang makanan dalam kuantiti yang
banyak.
Menurut Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk
Nadzim Johan, faktor buffet menyumbang kepada pembaziran kerana banyak
makanan yang tidak diusik dibuang begitu sahaja.
“Kita kena contohi negara maju seperti Jepun. Mereka amat menghargai
nilai makanan itu sehingga dalam konsep buffet mereka, sesiapa yang
mengambil makanan berlebihan dan tidak habis dimakan boleh dikenakan
denda dengan mengikut berat sisa makanan yang tidak dihabiskan,”
katanya.
Dasar seperti itu nampaknya memang wajar digunakan terhadap semua pihak
berkaitan, termasuk pengusaha kedai makanan, hotel dan industri
makanan, bahkan orang awam yang didapati terlibat dalam tabiat
pembuangan makanan dalam kuantiti yang banyak.
Dalam keadaan ekonomi dunia yang mencabar hari ini, segala tindakan
wajar perlu diambil bagi mengelak pembaziran dan ketirisan yang semuanya
membebankan rakyat dan negara.
Kenaikan harga petroleum, tarif elektrik, harga barang dan lain-lain sudah pasti akan melonjakkan kos sara hidup rakyat.
Laporan terbaru menyebut kira-kira 90 peratus tenaga kerja rakyat
Malaysia tidak mampu menanggung perbelanjaan tambahan ekoran pelaksanaan
cukai barang dan perkhidmatan (GST).
Menurut kaji selidik laman web sumber pekerjaan Jobstreet.com. 24
peratus responden berdepan masalah perbelanjaan, malah sebelum GST
dilaksanakan 1 April lalu lagi.
Beban hutang kepenggunaan itu juga banyak mengubah rutin responden,
apabila lebih separuh daripada mereka, iaitu 56 peratus, mengurangkan
tabiat keluar makan tengah hari dengan rakan sepejabat.
Kira-kira 47 peratus mula membawa bekal dari rumah, ada yang berkongsi kereta dan makan di pantri untuk jimatkan perbelanjaan.
Tindakan yang menjimatkan seperti itu perlu konsisten jika kita tidak mahu terjebak dalam pembaziran, dan bebanan hidup.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.