SINAR HARIAN
Video pergaduhan tersebar di media sosial.
IPOH - Kesatuan Pegawai-pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri
Koperasi dan Kepenggunaan kecewa dengan tuduhan yang dilemparkan pihak
tertentu di laman sosial kononnya pegawai penguatkuasa kementerian itu
menerima rasuah untuk melindungi kesalahan peniaga di Plaza Low Yat,
Bukit Bintang di Kuala Lumpur.
Presidennya, Rus Bakarurraini Shahfie berkata tuduhan yang dilemparkan
itu tidak adil bagi pegawai penguatkuasa kerana ia mencalarkan imej
pegawai serta kementerian.
"Pegawai telah menjalankan tanggungjawab sebaik-baiknya dan adil.
Tuduhan sedemikian bukan sahaja merosakkan nama pegawai penguatkuasa
malah kementerian itu sendiri," katanya kepada pemberita hari ini.
Sehubungan itu, kesatuan akan membuat laporan polis dalam tempoh
seminggu sekiranya individu terbabit tidak mengemukakan bukti berhubung
perkara itu.
"Daripada membuat tuduhan liar, mereka perlu memberikan bukti bahawa pegawai kami telah menerima rasuah itu," katanya.
Beliau berkata sekiranya pegawai melakukan penyelewengan pihaknya tidak
teragak-agak untuk melaporkannya kepada pejabat Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) atau bahagian integriti di KPDNKK.
"Kita tidak nafikan ada pegawai menyalahgunakan kuasa dan sebagainya
dan ada pegawai yang telah diambil tindakan tetapi kita tidak akan
bersekongkol dengan mereka (pegawai) yang bersalah ini," katanya. -
Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.