HUTAN MELINTANG: Pihak yang 'memangsakan' pekerja asing dan pendatang
tanpa izin (PATI) sehingga menjadi korban dalam tragedi bot karam di
perairan Sabak Bernam, Selangor pada Khamis berdepan tindakan keras,
kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri berkata tindakan akan diambil mengikut Akta
Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Atipsom) yang
memperuntukkan hukuman berat.
"Saya harap mereka tahu bahawa Atipsom dikuatkuasakan beberapa waktu
yang lalu. Pihak APMM (Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia) dan PDRM
(Polis Diraja Malaysia akan melakukan siasatan bagi memperoleh maklumat
berkenaan dan saya ingin memberitahu mereka yang telah 'memangsakan'
PATI ini bahawa tindakan undang-undang di bawah Atipsom adalah berat,"
katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas meninjau operasi
mencari dan menyelamat mangsa bot karam itu di Jeti Hutan Melintang, di
sini Jumaat.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri meminta
pihak terbabit menghentikan segera aktiviti menyeludup masuk dan keluar
PATI ke negara ini tanpa memikirkan aspek keselamatan.
"Jangan hanya fikir wang ringgit, fikir nyawa manusia ... saya minta mereka hentikan semua perancangan mereka ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.